Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Tindakan seorang penjawat awam berusia 50-an yang disyaki meminta rasuah dalam bentuk layanan seks sebagai dorongan untuk mendapat kelulusan rumah mampu milik membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang ini.

Pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan itu ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Putra, di sini, ketika bersama seorang janda berusia lingkungan 20-an dipercayai mangsanya.

Sumber SPRM ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek, namun identiti lelaki terbabit termasuk di jabatan tidak dinyatakan.

"Kita tahan suspek berdasarkan maklumat awam diterima dan hasil siasatan dijalankan sejak beberapa bulan lalu. Ketika ditahan anggota kami, suspek berdua-duaan dengan wanita terbabit dan dipercayai sedang menuntut rasuah terbabit.

"Berdasarkan maklumat, kita percaya ini bukan kes pertama dan suspek mungkin pernah melakukan perbuatan sama sebelum ini. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 namun dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 8:35 PM