REZA (kiri) bersama Bront.
REZA (kiri) bersama Bront.
Oleh Norhayati Nordin


Sering diberi kepercayaaan membintangi filem biopic, ia memberi banyak pengalaman menarik buat pelakon Indonesia, Reza Rahadian, 28, dalam terus memperbaiki mutu lakonannya.

Pemuda kelahiran Bogor, Indonesia ini seorang yang komited dengan tanggungjawabnya sebagai pelakon dan sentiasa ingin memberi yang terbaik.

Reza yang ditemui pada majlis pelancaran Siri Original HBO Asia, Halfworlds, baru-baru ini berkata, dia menyanjung tinggi hasil kerjanya.

Reza atau Reza Rahadian Matulessy juga sudah sedekad membina nama dalam industri hiburan dan perfileman Indonesia. Sepanjang tempoh itu, dia sangat gembira dan bersyukur apabila dirinya sering mendapat peluang dan kepercayaan melakonkan karya berat dan watak serius.

“Setiap watak yang saya lakonkan, ia satu tanggungjawab besar. Saya lebih dulu berbincang dengan pengarah untuk memahami tuntutan karakter diberi.

“Sangat penting untuk saya faham dengan jelas jalan cerita dan permainan watak itu kerana lebih selesa mendalaminya sebagai persediaan awal.

“Saya tidak mahu nanti lakonan dipersembahkan nampak seperti patung, hanya berlakon mengikut skrip tanpa mengkaji kehendak sesuatu karakter itu,” katanya.

Reza juga akui tidak pernah mengajar dirinya berlakon untuk mengejar bayaran lumayan, tetapi hasil kerja yang diberi tidak seberapa.

“Saya selalu menginginkan yang terbaik dalam setiap lakonan dipersembahkan. Ini kerana saya mahu penggiat seni yang bekerjasama dengan saya yakin dan penonton juga puas.

“Ditambah berlakon juga adalah minat saya dan kini menjadi karier. Seharusnya, saya perlu menghargai setiap tawaran karya yang diperoleh,” katanya.

Nama Reza melonjak dipersada industri hiburan Indonesia melalui beberapa filem yang berjaya meninggalkan kesan mendalam. Antaranya sebagai Presiden Habibie dalam Habibie & Ainun, menjadi orang Aceh dalam filem Hafalan Shalat Delisa (2011), begitu juga watak orang Sunda dalam filem Testpack (2012) dan menjadi pemuda Minang dalam Teng­gelamnya Kapal Van Der Wijck (2013).

Kata Reza, apa yang dilakonkannya dalam sesuatu watak adalah selepas mengkaji kehendak karakter itu. Katanya, kalau bekerja perlu bersungguh.

“Saya juga seorang yang cepat bosan, suka membuat kelainan dan tidak mahu berada di takuk lama. Justeru, saya sentiasa ingin mengembangkan karier saya ke tahap lebih jauh dan semakin baik.

“Apa saja watak diterima, saya lakonkan dengan sepenuh hati. Bagi saya, setiap karya dibintangi itu membawa pengalaman berbeza,” katanya.

Reza membuktikan bakat lakonannya melalui dua piala citra dimenangi di Festival Filem Indonesia (FFI). Anugerah pertama melalui Perempuan Berkalung Sorban pada 2009 dan tahun berikutnya untuk filem 3 Hati 2 Dunia 1 Cinta.

Reza kini merancang untuk melangkah setapak lagi bergelar pengarah dan sekarang baginya adalah masa untuk menimba ilmu.

Dia bercadang suatu hari nanti menghasilkan karya seni sendiri dan kini dalam proses belajar dan mengumpul ilmu di dada.

“Melihatkan pengarah yang sudah berjaya membina nama seperti Joko Anwar, mungkin suatu hari nanti saya juga akan ada peluang sebegitu,” katanya.

Selesa bekerja dengan Bront

Meskipun berlainan negara, siri Halfworlds adalah kerjasama pertama Reza dengan pelakon terkenal tanah air, Bront Palarae, ia diakui pengalaman hebat.

Malah Reza akui selesa bekerja dengan Bront. Pelakon filem Perahu Kertas ini tidak menyangka mereka mampu mewujudkan keserasian dengan cepat.

Melakonkan watak utama sebagai Tony dalam Halfworlds, Reza berkata, dia juga tidak berfikir panjang selepas mendapat tawaran daripada pengarah, Joko Anwar.

Tambah pula siri Halfworlds sebanyak lapan episod ini memiliki satu kelainan dan jalan cerita berbeza apabila ia mengetengahkan kisah penjelmaan makhluk dan iblis.

“Selepas 15 minit membaca skrip untuk watak Tony itu, saya terus setuju. Bagi saya, ia sangat menarik dan ada kelainan untuk dilakonkan.

“Mengangkat kisah penjelmaan makhluk dan iblis daripada cerita dongeng Indonesia yang diterjemahkan dalam bentuk moden, bagi saya ia perkara baru,” katanya.

Reza juga yakin terhadap hasil sentuhan Joko membuatkan dia sangat bangga terbabit dalam siri Halfworlds. Ditambah pula siri Halfworlds akan disiarkan secara keseluruhan dalam bahasa Inggeris dan diterbit pula oleh HBO Asia.

“Pembabitan pelakon serantau seperti Bront dan Puteri Balqis dalam siri ini pada saya kerjasama yang baik kerana kami saling berkenalan dan membantu.

“Saya melihat Bront, seorang pelakon yang hebat dan ada gaya tersendiri. Begitu juga dengan Puteri Balqis yang memiliki bakat besar,” katanya.

Tambah Reza, gabungan kerjasama antara pelakon Indonesia dan Malaysia juga satu petanda positif. Apabila mendapat karya bagus dengan gandingan pelakon terbaik, membuatkan dia lebih bersungguh memberikan lakonan lebih berkesan.

Siri Halfworlds akan disiarkan menerusi saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) mulai 29 November, jam 10 malam. Ia turut dijayakan Adinia Wirasti, Aimee Saras, Alex Abbad dan Ariffin Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:03 AM