POSTER My Stupid Boss.
POSTER My Stupid Boss.
ATIKAH (kiri) dan BCL turut jayakan  My Stupid Boss.
ATIKAH (kiri) dan BCL turut jayakan My Stupid Boss.
ANTARA babak dalam My Stupid Boss.
ANTARA babak dalam My Stupid Boss.
Ramlah Zainal


Watak Adrian, kasanova dalam filem My Stupid Boss memberi cabaran tersendiri bagi aktor berkaliber Bront Palarae.

Walaupun sekadar tampil sebagai pelakon pembantu, Bront tidak ingin melepaskan peluang keemasan membintangi filem kolaborasi Malaysia dan Indonesia itu.

“Saya juga ingin bekerja dengan Upi Avianto yang terkenal sebagai pengarah yang menghasilkan karya hebat di Indonesia.

“Apa yang mencabar, saya perlu melakonkan karakter komedi yang boleh memenuhi cita rasa penggemar genre ini di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam,” katanya.

Bront berkata, antara sebab lain dia bersetuju terbabit dalam ini adalah kerana tertarik dengan karakter Adrian.

“Selepas menjayakan filem Ola Bola, saya teringin terbabit dengan karya komedi ringan dan santai seperti My Stupid Boss.

“Selama ini, peminat sering menonton lakonan saya yang serius dan kali ini saya tampil berbeza dengan watak lebih ringan,” katanya.

Filem My Stupid Bos diterajui artis popular seberang iaitu Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari (BCL), Alex Abbad dan Ronny P Tjandra.

Manakala, penampilan Bront dan dua lagi pelakon dari Malaysia iaitu Atikah Suhaime (watak Norahsikin) dan Chew Kin Wah (Mr Khoo) pula memantapkan lagi jalan cerita filem itu.

Bront berkata, dia menimba pengalaman berharga sepanjang penggambaran filem berkenaan.

“Saya selesa bekerja dengan Upi kerana dia pengarah yang ‘cool’. Walaupun ia cerita komedi, Upi serius ketika bekerja dan memberi arahan kepada pelakon.

“Semua pelakon mahu berlakon dalam filem arahannya kerana dia sangat teliti dan memilih ketika bekerja.

“Difahamkan, My Stupid Bos adalah karya terbarunya selepas tiga tahun tidak mengarah filem dan pastinya karyanya ini dinanti ramai”, katanya.

Mengenai gandingan dengan Reza yang membawa watak bos pula kata Bront, dia tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan pelakon itu.

“Kami pernah bekerjasama dalam siri HBO, Halfworld dan sudah tahu cara bekerja masing-masing.

“Saya juga baru kali pertama bekerjasama dengan Bunga Citra Lestari (watak Diana) tetapi kami tidak ada masalah mendapatkan keserasian di lokasi filem ini.

“Walaupun nama besar di Indonesia, dia profesional dan tidak berlagak diva sepanjang penggambaran,” katanya.

Skop Production selaku pengedar filem

Sementara itu, Penerbit filem My Stupid Boss, Frederica berkata, Malaysia menjadi pilihan untuk memperluaskan jaringan filem kerana ia akan memberi manfaat kepada dua negara.

Menurutnya, filem itu menjadi percubaan pertama kerjasama produksi Falcon Pictures yang pernah menerbitkan filem pecah panggung di Indonesia iaitu Laskar Pelangi, Comic 8 dan Comic 8: Casino Kings memperluaskan pasaran filem ke negara ini.

“Selain melihat industri perfileman Malaysia berkembang pesat, Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun yang hidup berjiran dan mempunyai cita rasa serta budaya sama,” katanya.

Produser Terbaik sempena Anugerah Filem Box Office Indonesia (IBOMA) 2016 ini berkata, penggambaran filem itu mengambil masa selama 25 hari, termasuk dua minggu di Kuala Lumpur.

“Kami juga melantik syarikat perfileman berpengaruh iaitu Skop Production Sdn Bhd sebagai pengedar filem ini di Malaysia,” katanya.

Filem ini diangkat daripada empat siri novel paling laris di Indonesia dan berkisar mengenai kehidupan realiti yang dilalui pekerja ketika berdepan dengan majikan.

My Stupid Boss bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 19 Mei nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:02 AM