London: Penyerang Mexico, Javier Hernandez (gambar) melengkapkan perpindahan dari Bayer Leverkusen ke West Ham dengan harga £16 juta (RM89 juta), umum kelab Liga Perdana itu kelmarin.

Pemain berusia 29 tahun itu, sebelum ini menghabiskan lima tahun di England bersama Manchester United dan menang dua kejuaraan liga, menyertai kelab kendalian Slaven Bilic menerusi kontrak tiga tahun sesudah melengkapkan pemeriksaan perubatan di London.

Pemain terkenal di negaranya, Hernandez muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Mexico awal tahun ini selepas menyumbat 48 gol dalam 96 penampilan, termasuk dua Piala Dunia. Tempoh dua tahun di kelab Bundesliga, Leverkusen turut menyaksikannya mengumpul 28 gol dalam 54 perlawanan.

Hernandez, dikenali sebagai ‘Chicharito’, tiba di West Ham berikutan pembelian berprofil tinggi pemain Argentina, Pablo Zabaleta, pemain England, Joe Hart dan bintang Austria, Marko Arnautovic.

Pemain Mexico itu menyatakan dia tidak sabar memulakan hidup baru di Stadium London.

“Bagi saya, Liga Perdana liga terbaik di dunia dan apabila peluang hadir, saya terdesak untuk menandatangani bersama kelab ini,” katanya.

“Ia bukannya satu keputusan sukar. West Ham satu kelab bersejarah dan amat bercita-cita tinggi, pada musim panas ini anda boleh lihat dengan pemain yang diikat dan mereka mahu melalui satu musim yang cemerlang.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:36 AM