REKAAN cantik Z3+ amat mengagumkan.
REKAAN cantik Z3+ amat mengagumkan.
Oleh Afiq Hanif


Telefon pintar Sony Xperia Z3+ ternyata peranti yang langsung tidak membosankan terutama dengan kamera lengkap 1/2.3” ternyata berupaya menawarkan hasil rakaman mengagumkan ketika diuji IT@Metro.

Rekaan Z3+sekali imbas tidak ubah seperti model sebelumnya, Z2 tetapi jika diteliti ia nyata diberi sentuhan lebih baik.

Jika anda memandangnya dari depan, boleh dilihat skrin IPS 5.2 inci dengan dua pembesar suara di atas dan bawah skrin.

Di bahagian atas telefon ini terdapat port audio 3.5mm dan meskipun saiznya bukan kategori phablet, Sony mengekalkan prestasi yang ada dalam Z3+ ini jadi ia memang pilihan terbaik bagi keperluan prestasi tertinggi telefon pintar pada badan dengan skrin kurang dari 5.5 inci.

Ia menggunakan cip keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 810 Octa Core dengan kelajuan sehingga 3.5GHz.

Ia memiliki RAM 3GB dan memori dalaman 32GB yang boleh ditambah menggunakan kad memori mikroSD.

Rangkaian 4GLTE yang disokong telefon ini memberi pengalaman melayari Internet terpantas selain sambungan WiFi serta Bluetooth v4.0 yang menyokong penggunaan tenaga rendah jimat bateri.

Di samping itu, NFC juga ditawarkan padanya untuk hubungan pantas dengan peranti lain melalui satu sentuhan sahaja.

Skrin 5.2 inci pada Z3+ menggunakan paparan IPS yang masih boleh dilihat sehingga 178 darjah tepi.

Teknologi Triluminos terbukti menjadikan paparan lebih cerah dan terang. Z3+kelihatan lebih terang di bawah pancaran cahaya matahari, berbanding telefon lain walaupun sebenarnya masih agak sedikit silau.

Sony melengkapkan Z3+ dengan OS Android 5.0 Lollipop manakala seperti pengeluar lain, Sony turut mengubah suai antaramuka (UI) pada Z3+.

Skrin kunci Z3+kelihatan ringkas. Hanya ada jam, tarikh, serta butang pantas ke kamera saja.

Seperti biasa, kamera pada peranti utama Sony ini dilengkapi perkakasan terbaik yang ada di pasaran kini. De­ngan resolusi 20.7MP dan dikuasakan sensor Exmor RS sebesar 1/2.3 serta ISO setinggi 12800, tiada gambar yang tak mampu dirakam menggunakan Xperia Z3 Compact ini.

Ia mempunyai keupayaan zum digital 8x dan ternyata gambar tidak terlalu pecah dan kabur meng­gunakan zum maksimum.

Malah, gambar pada waktu malam dan kurang cahaya boleh dirakam menjadi terang dengan sensor sebesar 1/2.3 yang dimilikinya serta ISO yang tinggi.

Apabila aplikasi kamera dilancarkan, biasanya ia akan bermula dengan mod ‘Superior Auto’. Pada mod ini, tiada perubahan tetapan boleh dilakukan melainkan pemilihan LED Flash.

Resolusi gambar juga tetap pada maksimum 20.7MP.

Satu aspek utama yang menjadi kelebihan siri Z ialah bateri yang bertahan lama. Tidak dapat dinafikan, inilah telefon yang paling lama dapat digunakan dengan sekali cas.

Tanpa sebarang perubahan dalam tetapan penggunaan kuasa, ia dengan mudah dapat bertahan hampir 18 jam dengan skrin terpasang selama lebih empat jam.

Ia dicapai dengan penggunaan lima e-mel, Facebook, Twitter, Instagram dan GPS Waze yang dikira penggunaan tinggi.

Paling utama, telefon siri Z adalah kalis air dan debu dengan format IP68 iaitu paling tinggi yang ada pada telefon pintar kini.

Ia membolehkannya berada di dalam air jernih seperti kolam renang selama 30 minit pada kedalaman 1.5 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 1:09 PM