SONY Xperia Z3 Compact.
SONY Xperia Z3 Compact.
SONY Xperia Z3 Compact.
SONY Xperia Z3 Compact.
Oleh Afiq Hanif

Telefon pintar Sony Xperia Z3 Compact ternyata peranti yang langsung tidak membosankan dengan skrin 4.6 inci lebih kecil berbanding abangnya Z3 berskrin besar 5.2 inci.

Rekaan Z3 Compact sekali imbas pandang tidak ubah seperti model sebelumnya, Z1 Compact tetapi jika diteliti ia nyata diberi sentuhan lebih baik.

Jika anda memandangnya dari depan, boleh dilihat skrin IPS 4.6 inci dengan dua pembesar suara di atas dan bawah skrin.

Di bahagian atas telefon ini terdapat port audio 3.5mm dan juga lubang kecil yang dipercayai untuk mikrofon manakala di bahagian bawah hanya terdapat ruang untuk memasukkan 'lanyard'.

Walaupun kebanyakan telefon sekarang tidak mempunyai lubang lanyard ini. ia pasti memberi lebih pilihan kepada pengguna untuk menggantungkan atau menggayakan telefon mereka dengan aksesori lain.

Meskipun kompak, ia kecil-kecil cili padi. Sony mengekalkan prestasi yang ada pada Xperia Z3

dalam Z3 Compact ini jadi ia memang pilihan terbaik bagi keperluan prestasi tertinggi telefon pintar pada badan

dengan skrin kurang dari 5.0 inci.

Xperia Z3 Compact menggunakan cip keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 801 quad core dengan kelajuan sehingga 2.5GHz yang didatangkan dengan cip grafik Adreno 330.

Ia memiliki RAM sebanyak 2GB dan memori dalaman 16GB yang boleh ditambah menggunakan kad memori mikroSD.

Rangkaian 4G-LTE yang disokong oleh telefon ini memberi pengalaman melayari Internet terpantas selain sambungan WiFi serta Bluetooth v4.0 yang menyokong penggunaan tenaga rendah jimat bateri.

Di samping itu, NFC juga ditawarkan padanya untuk hubungan pantas dengan peranti lain melalui satu sentuhan sahaja.

Skrin 4.6 inci pada Z3 Compact menggunakan paparan IPS yang masih boleh dilihat sehingga 178 darjah tepi.

Teknologi Triluminos terbukti menjadikan paparan lebih cerah dan terang. Di bawah pancaran cahaya matahari, Z3 Compact kelihatan lebih terang berbanding telefon lain walaupun sebenarnya masih agak sedikit silau.

Sony melengkapkan Z3 Compact dengan OS Android 4.4.4 KitKat yang terkini yang mana Android 5.0 Lollipop masih belum tersedia secara rasmi.

Seperti pengeluar lain, Sony turut mengubah suai antaramuka (UI) pada Z3 Compact.

Skrin kunci Z3 Compact kelihatan ringkas. Hanya ada jam, tarikh, serta butang pantas ke kamera saja.

Seperti biasa, kamera pada peranti utama Sony ini dilengkapi perkakasan terbaik yang ada di pasaran kini. Dengan resolusi 20.7MP dan dikuasakan sensor Exmor RS sebesar 1/2.3 serta ISO setinggi 12800, tiada gambar yang tak mampu dirakam menggunakan Xperia Z3 Compact ini.

Ia mempunyai keupayaan zum digital 8x dan ternyata gambar tidak terlalu pecah dan kabur menggunakan zum maksimum.

Malah, gambar pada waktu malam dan kurang cahaya boleh dirakam menjadi terang dengan sensor sebesar 1/2.3 yang dimilikinya serta ISO yang tinggi.

Apabila aplikasi kamera dilancarkan, biasanya ia akan bermula dengan mod 'Superior Auto'. Pada mod ini, tiada perubahan tetapan boleh dilakukan melainkan pemilihan LED Flash.

Resolusi gambar juga tetap pada maksimum 20.7MP.

Satu aspek utama yang menjadi kelebihan siri Z ialah bateri yang bertahan lama. Tidak dapat dinafikan, inilah telefon yang paling lama dapat digunakan dengan sekali cas.

Tanpa sebarang perubahan dalam tetapan penggunaan kuasa, ia dengan mudah dapat bertahan hampir 22 jam dengan skrin terpasang selama lebih empat jam.

Ia dicapai dengan penggunaan lima e-mel, Facebook, Twitter, Instagram dan GPS Waze yang dikira penggunaan tinggi.

Satu fungsi yang menjadi pilihan IT@Metro adalah dua kali sentuhan pada skrin untuk mengaktifkan telefon.

Ia sememangnya sangat membantu terutama pada situasi jari anda sukar untuk mencapai butang kuasa seperti tangan yang penuh makanan.

Siri Xperia Z3 juga adalah peranti pertama yang dilengkapi PS4 remote Play. Ia boleh dijadikan skrin pendua ataupun skrin utama apabila dihubungkan dengan konsol Playstation 4.

Dengan aksesori tambahan, telefon ini boleh diletakkan di atas alat kawalan DUALSHOCK4, jadi pengguna boleh bermain PS4 sambil berjalan-jalan di sekeliling rumah.

Paling utama, telefon siri Z adalah kalis air dan debu dengan format IP68 iaitu paling tinggi yang ada pada telefon pintar kini.

Ia membolehkannya berada di dalam air jernih seperti kolam renang selama 30 minit pada kedalaman 1.5 meter.

INFO

Sony Z3 compact

- Harga: RM1,799

- Pengeluar: Sony Mobile Communications

- Pertanyaan: Sony Mobile Communications

- Laman Web: http://www.sonymobile.com/global-en/products/phones/xperia-z3-compact/

- Ciri: Telefon pintar kalis air, debu

- Pro: Bateri tahan lama

- Kontra: Perlu lebih pilihan warna

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:01 AM