Internet medium untuk berkomunikasi. HAZRIL MDNOR percaya jika kita kerap menghabiskan masa melayari Internet dan melihat kandungan e-mel, ia boleh menyekat keperluan sosial kita.

Internet menjadi salah satu cara untuk berhubung dengan insan lain yang berada di jarak jauh. Begitu juga dengan wujudnya kemudahan e-mel, ia memberikan kelebihan pada anak muda untuk menyimpan segala maklumat dan menghantarnya pada orang lain dengan begitu mudah. De­ngan erti kata lain, kewujudan teknologi sebegini menjadikan kita lebih produktif dan mahir dalam bidang pekerjaan. Apa saja data dan maklumat penting boleh diakses secara langsung daripada e-mel.

Namun, itu juga membuktikan kita masih lagi bergantung pada Internet sepanjang masa. Me­ngikut kajian terbaru, 30 peratus populasi penduduk dunia sedang melayari Internet dan masa keseluruhan yang digunakan penduduk dunia melayari Internet dalam jangka masa sebulan pula bersamaan dengan 3,995,445 tahun. Manakala, setiap individu dianggarkan memperuntukkan 16 jam dalam masa sebulan melayari Internet.

Bayangkan dalam sehari kita begitu taksub de­ngan Internet sehinggakan tiada masa untuk bersosial dengan keluarga dan rakan-rakan. Bersosial di sini bukanlah bermakna kita perlu berhubung di alam maya, tapi berjumpa dan bersemuka untuk mengeratkan hubungan.Justeru, kewujudan Internet ini bukanlah sesuatu yang begitu positif jika kita kurang bijak membahagikan masa dengan betul. Gen Y teliti beberapa kajian yang berguna untuk anda.

Melihat kandungan e-mel baru dan bersosial menerusi alam maya ketika sedang makan misalnya memberikan kesan yang negatif kepada individu itu sendiri. Laporan daripada The New York Times mendapati individu yang kerap melaksanakan pelbagai kerja dalam suatu masa menyebabkan minda disekat daripada menjadi lebih aktif. Dengan erti kata lain, kurang produktif.

Mengikut kajian Institut Penyalahgunaan Dadah Antarabangsa, kekerapan menggunakan telefon pintar menunjukkan kesan yang sama dengan dadah seterusnya mewujudkan situasi antiproduktiviti.

Bagi eksekutif muda yang selalu sibuk memeriksa kertas kerja dan mengatur perancangan syarikat, mereka memerlukan peranti mudah alih untuk melaksanakan semua kerja itu. Namun kajian membuktikan pendedahan secara berterusan pada peranti elektronik sebenarnya menyekat kreativiti. Menurut laporan jurnal sains PLUS One, pengasingan selama empat hari dari peranti elektronik memberikan 50 peratus lebih markah dalam ujian kreativiti.

Bukan itu saja, jika kita lihat dari sudut personaliti pula, menghabiskan masa bermain peranti dengan kerap boleh mewujudkan nilai negatif dan mengubah perangai seseorang. Buktinya, kajian dari Universiti Maryland mendapati pengguna tegar laman sosial kurang terdedah dan terbabit dengan aktiviti luar. Kajian yang dijalankan majalah Time pula menunjukkan pengguna tegar peranti mudah alih mempunyai sifat penting diri dan kurang keinginan untuk bergaul.

Di pejabat pula, perlu ada keserasian dan pergaulan antara rakan sekerja. Justeru, jika kita banyak menghabiskan masa melayari Internet dan sentiasa melihat kandungan e-mel, itu boleh menyekat sesi pergaulan kita dengan rakan sekerja. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Forbes, masa yang diperuntukkan untuk laman sosial dan e-mel sebenarnya boleh menjejaskan pergaulan antara rakan sekerja kerana ia tidak membabitkan penggunaan emosi dan pertemuan secara langsung.

Menurut laporan dari Institut Global Mckinsey pula, rata-rata pekerja memperuntukkan sebanyak 28 peratus masa bekerja untuk melihat kandungan terbaru e-mel. Dalam erti kata lain, sebanyak 13 jam dihabiskan hanya dengan klik dan membaca e-mel walhal masa itu boleh digunakan untuk aktiviti yang lebih produktif dan meningkatkan kreativiti.

Perlu diingat, kita harus hadkan masa bersosial di alam maya agar status sosial dijaga dengan baik tanpa ada jurang perhubungan. Jika terlalu banyak menghabiskan masa menghadap peranti canggih, sudah semestinya ia menyekat pergaulan kita serta menghalang daripada percambahan idea yang berkualiti. Ia juga boleh memenatkan minda kerana terlalu banyak berfikir dan meneliti setiap kertas kerja.

Masa perlu dibahagikan dengan baik dan seimbangkan waktu bekerja dan juga bersosial. Jika kita terlalu sibuk sehingga tiada masa diperuntukkan untuk keluarga dan rakan, langkah itu boleh memberikan tanggapan buruk orang lain pada kita. Ingat, kreativiti dan produktiviti bukan hanya dicapai melalui kerjaya tapi juga hobi dan aktiviti lain yang berfaedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 5:16 AM