Media sosial antara punca utama kita mudah lalai. SHUHADA MANSOR kongsi beberapa tanda untuk kenal pasti sama ada anda golongan obses Internet atau sebaliknya.

Jaringan Internet ibarat landasan untuk kita mengakses apa saja tanpa sempadan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita setiap hari.

Tidak mustahil kelakuan kita berubah atau tiada ‘mood’ seharian jika terpaksa mengharungi hari tanpa Internet walaupun cuma beberapa jam. Pun begitu, tidak dinafikan Internet memudahkan segala kerja. Dari segi pekerjaan, tugas kuliah, sekolah, hubungan sosial, video game dan sebagainya, ia memberi seribu satu manfaat kepada semua.

Namun, masih ada sisi lain yang harus kita ambil pusing. Perlu hati-hati dan tahu hadkan penggunaannya supaya kita tidak terlalu bergantung kepadanya. Walaupun ada yang mampu hidup tanpa jaringan Internet, tapi lebih ramai kelompok yang tidak mampu meneruskan rutin seharian sekiranya tiada akses Internet.

Ketahui tanda sama ada anda tergolong dalam kelompok obses Internet atau sebaliknya.

1. Kita berasa gembira ketika sedang online atau bermain game melalui gajet tetapi, apabila terpaksa offline, secara automatik kita akan berasa kosong. Lebih serius apabila ia mengganggu rutin lain kerana kita tidak tahu untuk melakukan kerja lain selain online.

2. Meskipun anda sedang melakukan rutin harian seperti memasak, berkebun bahkan melepak bersama rakan, fokus anda terganggu kerana asyik berkira-kira waktu untuk anda online.

3. Situasi ini adalah yang paling jelas dilihat masa kini. Untuk mengetahui sama ada anda obses Internet atau tidak, ketika bersama rakan dalam perbincangan atau berborak kosong di kedai makan, anda akan lebih fokus kepada media sosial dalam talian. Gajet sentiasa di tangan dan kita kurang beri perhatian kepada orang sekeliling.

4. Apabila terjaga daripada tidur pada waktu malam, hal pertama yang anda cari adalah telefon atau gajet. Bukan untuk melayari Internet, hanya untuk melihat e-mel masuk atau ‘notification’ saja sudah memadai.

5. Sentiasa berikan alasan atau mengelak untuk memberitahu rutin harian sebenar. Jika ditanya apa yang anda dilakukan pada masa lapang atau cuti hujung minggu, jawapan selamat dengan memberitahu keluar bersama rakan atau lakukan aktiviti luar. Padahal anda hanya melepak di rumah sambil melayari Internet.

Jadi, adakah anda tergolong dalam kelompok yang obses Internet? Jika anda mengalami salah satu daripadanya, sudah tiba masanya untuk anda keluar rumah dan bersosial dengan dunia realiti!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:00 AM