Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki remaja negara A Arul Selvaraj tidak menolak kemungkinan menggandingkan barisan muda dan berpengalaman untuk kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Baharu dari 11-18 Oktober.

Menurutnya, kejohanan tahunan membabitkan enam negara itu pentas terbaik menguji kemampuan barisan muda yang purata umur 20 tahun ke bawah, menentang pasukan handalan dunia sebelum beraksi di Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang dari 14-24 November.

Selain Malaysia, lima pasukan lain yang mengambil bahagian dalam Piala Sultan Johor adalah Australia, India, Pakistan, Great Britain dan Argentina.

“Adalah baik untuk skuad negara menentang lawan yang sukar di kejohanan ini (Piala Sultan Johor). Jika pemain mahu meningkat, mereka perlu berdepan lawan kuat kerana ia tidak membawa sebarang makna untuk menang ke atas lawan lemah,” katanya.

“Saya lebih suka menentang lawan kuat kerana akan memberi pengalaman berguna kepada pemain,” katanya sambil menambah skuad itu akan menjalani latihan pusat Johor Bahru dari 28 September hingga 3 Oktober.

Sementara itu, Arul mensasarkan kedudukan empat terbaik di Piala Remaja Asia di Kuantan bagi memastikan tempat di pusingan akhir Piala Dunia Remaja di New Delhi, India pada Disember 2016.

“Menjuarai Piala Remaja Asia tentunya menjadi permulaan terbaik kerana semua pihak mahukan begitu tapi bagi saya, tumpuan utama adalah untuk layak ke Piala Dunia Remaja. Dari situ kita ambil langkah seterusnya,” kata bekas pemain negara era 90-an itu.

Arul juga yakin kehadiran pemain berpengalaman seperti Haziq Samsul, Meor Muhammad Azuan Hasan dan Muhammad Shahril Saabah, akan memberi motivasi tambahan kepada pemain lain untuk memberikan aksi terbaik di kejohanan Piala Sultan Johor dan Piala Remaja Asia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:16 AM