KOLEKSI ini memberikan yang terbaik dalam setiap rekaan.
KOLEKSI ini memberikan yang terbaik dalam setiap rekaan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Mencipta kelainan dengan menggabungkan imej ranggi, namun masih mengekalkan ciri tradisional menjadikan koleksi my.ghaania tampak luar biasa dan pastinya memukau.

Tidak mahu setiap koleksinya itu kelihatan sama seperti lambakan fesyen sedia ada, dua beradik yang juga pengasas jenama itu sentiasa mencari kelainan dalam setiap koleksinya.

Gabungan idea, Elly Nur Suhaili dan Illi Nurliyana Sufri ternyata membuahkan hasil apabila setiap koleksi my.ghaania menerima sambutan memberangsangkan khususnya wanita yang mahu tampil anggun dan luar biasa.

Menurut Elly Nur Suhaili, pihaknya sentiasa peka de­ngan peredaran fesyen tempatan dan mencipta kelainan bagi memastikan koleksinya tidak klise.

“My.ghaania tidak hanya fokus kepada baju semata-mata namun kami turut mempunyai selendang segera yang sesuai digayakan wanita berkerjaya yang mementingkan masa.

“Bermula daripada pakaian formal, kasual dan santai, setiap koleksi kami direka khas bagi setiap wanita yang inginkan penampilan memukau namun masih tetap ayu,” katanya.

Elly Nur Suhaili berkata, pihaknya baru saja melancarkan lima koleksi terbaru yang turut mempunyai pilihan kasual dan santai dengan gaya moden.

“Semua koleksi kami ditawarkan dengan harga berpatutan, sesuai dengan kualitinya iaitu bermula RM150 sehingga RM1,000 bergantung kepada rekaan dan koleksi.

“Pada masa sama, semua koleksi kami didatangkan dengan pelbagai pilihan warna menarik sama ada warna pastel mahupun warna terang dan pelbagai konsep serta rekaan menarik,” ujarnya.

Menurutnya, koleksi my.ghaania amat sesuai bagi individu yang mahu tampil berbeza kerana pihaknya menjanjikan koleksi itu tidak sama dengan yang lain.

“Selain eksklusif, kami turut mementingkan aspek kualiti material yang digunakan kerana kami mahukan setiap pelanggan berasa selesa dengan pakaian yang disarung,” katanya.

Maklumat berkaitan koleksi my.ghaania boleh didapati dengan melayari Facebook ghaania, Instagram @my.ghaania dan web www.ghaania.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 5:01 AM