KOLEKSI Merridew menepati cita rasa individu yang mahukan sesuatu fesyen yang unik.
KOLEKSI Merridew menepati cita rasa individu yang mahukan sesuatu fesyen yang unik.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Khas buat lelaki yang mementingkan gaya dan penampilan ranggi punk rock, jenama tempatan Merridew Clothing tampil mencipta kelainan dengan penghasilan pelbagai koleksi pakaian untuk lelaki yang berjiwa rock dan mementingkan stail unik.

Menggunakan lambang jantung yang jika diterbalikkan menampakkan bayangan binatang, membawa kepada simbolik sesuatu keunikan dalam setiap koleksi Merridew Clothing yang mula dipasarkan pada September 2014.

Pengasas Merridew Clothing, Cech Adrea berkata, setiap koleksinya iaitu baju-T pelbagai rekaan, beg sandang dan topi direka khusus buat lelaki yang berjiwa rock dan mahukan sesuatu yang berbeza berbanding penampilan individu lain.

Menurutnya, menggunakan material berkualiti tinggi, keistimewaan setiap koleksinya adalah lambang atau corak yang direka di setiap koleksinya yang amat sesuai dengan individu berjiwa rock.

“Setiap koleksi kami sesuai untuk digayakan remaja dan dewasa juga terdapat koleksi terhad barangan fesyen bayi selain setiap koleksi kami terhad kerana ia tidak akan diulang cetak.

“Setiap koleksi baju-T dan koleksi lain dijual dengan harga yang amat berpatutan iaitu RM30 hingga RM50 yang mampu dimiliki ramai penggemarnya,” katanya.

Cech berkata, koleksi jenamanya turut menawarkan baju-T untuk wanita yang turut meminati sesuatu keunikan luar biasa berbanding fesyen biasa di pasaran.

“Saya yakin koleksi Merridew Clothing mampu memberi kelainan kepada penggemar fesyen rock yang mahu tampil bersahaja namun tetap kelihatan ranggi terutama ke lokasi santai ataupun ketika hujung minggu.

“Saya juga yakin setiap koleksi Merridew menepati cita rasa penggemar fesyen tempatan kerana ia amat selesa ketika dipakai dan apa yang lebih penting ia mempunyai pelbagai pilihan warna dan rekaan,” katanya.

Semua koleksi Merridew Clothing boleh didapati secara dalam talian dengan melayari laman Instagram merridewclothing atau e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 1:13 PM