Ivy Loi, isteri pembantu juruterbang pesawat MH17 Eugene Choo, mencium anaknya Scott Choo, 12, yang memakai seragam bapanya di rumah mereka di Seremban. - Foto REUTERS
Ivy Loi, isteri pembantu juruterbang pesawat MH17 Eugene Choo, mencium anaknya Scott Choo, 12, yang memakai seragam bapanya di rumah mereka di Seremban. - Foto REUTERS

Amsterdam: Pasukan pendakwa antarabangsa yang melakukan siasatan tragedi pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di Ukraine Julai tahun lalu, menyatakan ia sudah mengenal pasti ‘mereka yang menjadi perhatian’ menyebabkan tragedi itu.

Reuters melaporkan, menurut kenyataan pasukan itu yang dikeluarkan selepas Lembaga Keselamatan Belanda mengumumkan hasil siasatan selama 15 bulan yang memutuskan pesawat berkenaan ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK buatan Russia.

Menurut pasukan pendakwa itu, siasatan bebas mereka membawa kepada arah yang sama tetapi ia tidak menyatakan siapa yang dimaksudkan.

Di Kiev, AFP melaporkan Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk menyalahkan pasukan keselamatan Russia yang bertanggungjawab terhadap tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di kawasan dikuasai pemberontak pro-Russia di timur Ukraine.

“Saya tidak sangsi ia adalah operasi dirancang pasukan khas Russia untuk menembak jatuh pesawat awam,” katanya pada Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Di Amsterdam (Reuters), Perdana Menteri Belanda Mark Rutte meminta Russia beri kerjasama penuh kepada siasatan jenayah untuk menentukan siapa menembak jatuh pesawat MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Sementara itu di Washington (Reuters), Rumah Putih menganggap Laporan Lembaga Keselamatan Belanda penting kepada usaha memastikan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

“Amerika Syarikat menyokong penuh usaha membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Pendirian kami masih tidak berubah iaitu MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu bumi ke udara dari wilayah dikuasai pemberontak di timur Ukraine,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Ned Price.

Reuters melaporkan Russia menganggap hasil siasatan Lembaga Keselamatan Belanda berat sebelah Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov, berkata: “Walaupun Russia berulang kali cuba mengaturkan siasatan yang telus dan lengkap tetapi tidak diendahkan.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 10:23 PM