Sistem peluru berpandu BUK yang boleh digerakkan dengan mudah. - Foto Miltary-Today.com
Sistem peluru berpandu BUK yang boleh digerakkan dengan mudah. - Foto Miltary-Today.com

Gilze-Rijen, Belanda: Laporan penyiasat antarabangsa memutuskan pesawat MH17 Malaysia Airlines ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK buatan Russia dari timur Ukraine yang dikuasai pemberontak.

Menurut media Belanda yang menyiarkan laporan itu beberapa jam sebelum laporan rasmi hasil siasatan dijadualkan diumumkan Lembaga Keselamatan Belanda.

Laporan rasmi selepas 15 bulan siasatan itu bertujuan menamatkan spekulasi kenapa pesawat Boeing 777 berkecai di udara membunuh 288 penumpang serta anak kapal.

Moscow menafikan terbabit dalam serangan itu sebaliknya menuduh kerajaan Ukraine yang menghadapi tentangan sengit pemberontak pro-Russia di timur negara itu.

Memetik tiga sumber yang didakwa rapat dengan siasatan, akhbar Volkskrant menyatakan siasatan mendapati pesawat itu ditembak peluru berpandu udara ke bumi BUK pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Menurut Volkskrant, laporan itu mengandungi peta lokasi pesawat terhempas dengan serpihan pesawat bertaburan dekat perkampungan Grabove yang dikuasai pemberontak.

Laporan itu menolak dakwaan Russia pesawat berkenaan ditembak peluru berpandu tentera Ukraine ketika ia terbang pada paras 33,000 kaki.

Lembaga Keselamatan Belanda yang mengetuai pasukan siasatan antarabangsa menegaskan ia tidak berkuasa untuk menentukan siapa yang melepaskan tembakan kerana ia dilakukan pasukan pendakwa Belanda.

Namun menurut Volkskrant dua sumber menegaskan peluru berpandu BUK dibangun dan dibuat oleh Russia.

“Boleh diandaikan pemberontak tidak mampu mengendalikan peluru berpandu itu. Saya mengesyaki pembabitan bekas pegawai tentera Russia,” kata sumber itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 5:37 PM