Kuala Lumpur: Petronas menggariskan enam strategi menangani situasi sukar dalam industri minyak dan gas (O&G) dan kekal menguntungkan.

Dalam temu bual eksklusif dengan New Straits Times (NST), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, dalam beberapa tahun akan datang, syarikat itu memberi tumpuan ke atas penjanaan tunai.

“Yang saya maksudkan dengan penjanaan tunai ialah loji kami mesti dalam keadaan terbaik beroperasi sepanjang masa dan menjual produk dalam kedudukan nilai terbaik yang mampu diperoleh dalam keseluruhan rangkaian nilai,” katanya sejak mengambil alih jawatan nombor satu itu pada April lalu.

Yang kedua, Wan Zulkiflee berkata, Petronas perlu merealisasikan projek pertumbuhan - Projek Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), projek pengolahan gas asli cecair terapung (FLNG), lebih banyak projek di Sabah dan di Kanada.

“Kami perlu menyiapkan projek ini mengikut jadual, tiada kos berulang dan tepat pada masanya dengan tahap kesihatan serta keselamatan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, projek O&G diluluskan akan diteruskan, namun syarikat itu akan meminta membida semula beberapa pakej dalam projek RAPID bagi mencerminkan harga bahan mentah yang rendah.

Strategi ketiga ialah mengurangkan kos dan pemudahkan iaitu mengkaji semula beberapa proses dalam keseluruhan kumpulan termasuk sumber manusia, pemerolehan dan proses perancangan.

“Jika kami dapat memudahkan dan mengurangkan masa bekerja, penjimatan itu boleh disalurkan untuk penjanaan tunai. Inilah langkah jangka pendek kami,” katanya.

Langkah lain ialah melabur dalam teknologi, pengurusan bakat yang lebih baik dan meningkatkan budaya kerja iaitu keadaan semasa yang membuka peluang baik dalam menangani segala ketidakcekapan dalam organisasi serta industri O&G Malaysia.

Beliau berkata, Petronas yang mempunyai 51,000 tenaga kerja, tidak mempunyai rancangan untuk memberhentikan pekerjanya . - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:48 AM