Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto AINAL MARHATON ADB GHANI
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto AINAL MARHATON ADB GHANI

Kuantan: Pasangan di Pahang yang berkahwin menggunakan saluran tidak sah termasuk di wilayah selatan Thailand, diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tanpa dikenakan tindakan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata tempoh 'pemutihan' itu akan bermula pada 2 November 2015 dan tamat pada 2 Februari tahun hadapan.

"Sepanjang tempoh itu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memberi peluang kepada mereka membuat pendaftaran dan hanya perlu menjelaskan bayaran

dokumentasi.

“Pasangan berkenaan juga akan dibantu melalui siasatan, sama ada perkahwinan yang dibuat mengikut syariat telah ditetapkan atau perlu dinikahkan semula dan sebagainya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Abdul Wahid berkata antara perkahwinan yang perlu didaftarkan ialah yang dilakukan di selatan Thailand termasuk di Naratiwat, Pattani, Songkhla, Yala dan Satun yang tidak memohon serta gagal mendapat kebenaran berkahwin secara bertulis daripada pejabat agama Islam daerah .

Ia juga meliputi perkahwinan sindiket dalam negara seperti di Kuantan, namun pasangan berkenaan memperoleh sijil perkahwinan daripada Majlis Agama Islam wilayah Selatan Thailand kerana perkahwinan di wilayah selatan Thailand tanpa kebenaran adalah salah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUKI) Pahang 2005.

"Sijil perkahwinan dari sebarang wilayah Selatan Thailand tidak diiktiraf untuk kegunaan rasmi negara ini menyebabkan timbul beberapa masalah seperti tidak mendapat sijil kelahiran anak, sekali gus menjejaskan pendaftaran persekolahan mereka.

"Mereka juga akan berdepan masalah menuntut hak jika berlaku perceraian dan jika salah seorang pasangan mati, maka pasangan dan anak tiada hak menuntut harta pusaka," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 4:21 PM