Azahar Hashim


Bandar Baharu: Pemegang Malaysia Book Of Records (MBOR), Wan Hashim Wan Mahmood, 72, bersyukur misi Kayuhan Kembaranya mengelilingi selatan Thailand bagi fasa pertama minggu lalu berjalan lancar dan kini meneruskan kayuhan di dalam negara sebelum memasuki Singapura.

Katanya, dia memulakan perjalanan pada 9 April lalu ke Selatan Thailand memasuki wilayah Tak Bai, Naratiwat, Pattani, Songkla dan Hadyai selama hampir seminggu dan masuk semula ke Malaysia melalui Padang Besar.

"Saya kemudian ke Langkawi dan ke Pulau Pinang sebelum singgah ke pekan Serdang 2 petang semalam (kelmarin).

"Cabaran di Selatan Thailand lebih kepada cuaca di kawasan sana amat panas sekitar 40 darjah Celsius dan saya perlu banyak minum air bagi mengelakkan daripada berlaku kehilangan air dalam badan.

"Keadaan jalan raya di kawasan sana amat baik serta melancarkan perjalanan, banyak tempat menarik yang saya kunjungi ketika berada di tempat orang," katanya ketika ditemui dalam majlis pelepasan Kayuhan Kembara di Dataran Serdang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Bandar Baharu,Mohd Fauzi Mustafa.

Dalam kembara kali ini, Wan Hashim akan berbasikal sejauh 3,000 kilometer (km) mengeliling Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand selama 43 hari.

Walaupun dalam usia emas, Wan Hashim atau lebih dikenali dengan Pak Wan dalam usaha mencipta nama kali ketiga dalam MBOR jika berjaya menamatkan misi kayuhan itu.

Pada misi kali ini, Pak Wan disertai jurugambar sambilan BERNAMA Kelantan, Shahuri Awang, 31, yang merakam gambar di tempat persingahannya atau yang dilawatinya.

Harian Metro sebelum ini, melaporkan nama beliau tercatat dalam MBOR selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014 sebelum sekali lagi mencipta nama pada Januari 2015 apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 2:08 PM
NORSABRINA (kiri) bersama Mohd Fauzi (dua kiri) di majlis pelepasan misi Pak Wan (bertopi koboi). FOTO Azahar Hashim
NORSABRINA (kiri) bersama Mohd Fauzi (dua kiri) di majlis pelepasan misi Pak Wan (bertopi koboi). FOTO Azahar Hashim