JALALUDDIN menunjukkan peta bagi menerangkan pemerluasan perintah berkurung. FOTO Mohd Adam Arinin
JALALUDDIN menunjukkan peta bagi menerangkan pemerluasan perintah berkurung. FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis mengumumkan lanjutan dan pemerluasan perintah berkurung fasa ke-28 membabitkan daerah Beluran yang berkuatkuasa 23 September hingga 8 Oktober depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, langkah memperkenalkan pemerluasan berkenaan diputuskan selepas mengambil kira beberapa faktor keselamatan termasuk mengetatkan kawalan di daerah Beluran yang mempunyai beberapa kawasan chalet di kepulauan Lankayan, Tegipil, Billean dan pusat penyelidikan hidupan marin.

"Dengan lanjutan dan pemerluasan perintah berkurung melibatkan daerah Beluran pada 23 September hingga 8 Oktober itu nanti, PDRM optimis tahap keselamatan penduduk serta pelancong asing di kawasan itu akan lebih terjamin.

"Langkah memperkenalkan pemerluasan ini juga didorong atas beberapa faktor, di antaranya Beluran mempunyai pusat penyelidikan marin dan mempunyai daya tarikan pelancongan seperti chalet yang perlu dipantau dan dikawal ketat daripada anasir jenayah sempadan rentas serta aktiviti penculikan, " katanya dalam sidang media di IPK Sabah, hari ini.

Untuk rekod dengan pengisytiharan terbabit, Beluran menjadi daerah ketujuh membabitkan kawasan perintah berkurung di Pantai Timur Sabah sejak ia diperkenalkan pada 19 Julai 2014 dan kini jarak keluasannya turut bertambah kepada 319,879.1 kilometer persegi berbanding 314,087.9 kilometer persegi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 12:16 PM