Heresa di sisi kubur suaminya di Tanah Perkuburan Islam Pekan Sepang, petang tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Heresa di sisi kubur suaminya di Tanah Perkuburan Islam Pekan Sepang, petang tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Ainul Fatihah Mansor


Sepang: "Damailah abang di sana". Itu kata-kata diluahkan isteri Helmizi Imran,33, yang maut akibat ditikam adik kandung dalam kejadian berebut alat kawalan jauh televisyen di rumah keluarga di Kampung Chuah, Port Dickson, semalam.

Kata-kata itu diluahkan Heresa Mohd Idris, 33, sebaik talkin selesai dibacakan, sambil dilihat sesekali mengalirkan air mata ketika suaminya dikebumikan kira-kira 4 petang tadi.

Dia yang kelihatan tenang turut dilihat memegang penanda kubur suaminya, sementara anak perempuan sulung yang berusia 11 tahun berada tidak jauh dari kubur sambil ditenangkan ahli keluarga.

"Saya reda dengan pemergian suami, alhamdulillah majlis pengebumian suami petang ini berjalan lancar.

"Saya juga bersyukur kerana dapat menunaikan hajat arwah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Sepang yang terletak berhampiran kediaman kami,"katanya ketika ditemui di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, mangsa parah di dada selepas ditikam adiknya berusia 23 tahun dengan pisau akibat tidak puas hati ditegur berebut alat kawalan jauh televisyen dengan anak lelaki mangsa berusia lima tahun.

Tikaman itu menyebabkan mangsa rebah sebelum dibawa ke hospital oleh seorang lagi adik mangsa, bagaimanapun dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson akibat parah di dada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:18 PM