SUSPEK direman empat hari bagi bantu siasatan. FOTO Muhammad Mikail Ong
SUSPEK direman empat hari bagi bantu siasatan. FOTO Muhammad Mikail Ong
Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: Wanita kurang siuman yang menikam pemandu bas Rapid Penang, semalam ditahan ketika dia sedang menaiki bas bernombor sama di Jalan Paya Terubong, di sini, hari ini.

Pekebun sayur berusia 48 tahun itu ditahan oleh pemandu bas yang mengenali wanita terbabit kerana dia dikatakan hampir setiap hari menaiki bas Rapid Penang bernombor 502 laluan dari Jeti ke Balik Pulau untuk ke pasar.

Selepas menahan wanita terbabit, pemandu bas itu menyerahkan suspek kepada polis dan hasil pemeriksaan ke atas beg wanita itu polis menemui sebilah pisau disyaki senjata kes serangan semalam.

Difahamkan, setiap hari wanita itu akan menaiki bas untuk ke pasar berhampiran bagi menjual hasil tanamannya secara kecil-kecilan kepada peniaga di pasar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas wanita terbabit bagi siasatan kes serangan berkenaan.

Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu berikutan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan sudah ditemui.

"Pisau itu ditemui dalam beg yang dibawanya dan suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Semalam, pemandu bas Rapid Penang Aisyamudin Yaacob, 27, tidak sedarkan diri apabila dia ditikam di paha kanan oleh wanita berkenaan yang dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa tidak memberhentikan bas di depan rumahnya berikutan hentian bas terletak di kawasan berdekatan.

Tikaman itu terkena urat saraf utamanya membuatkan mangsa mengalami pendarahan teruk .

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Oktober 2014 @ 7:14 PM