Lokasi mangsa rebah dipercayai ditikam oleh adiknya dengan senjata tajam selepas berlaku pergaduhan di rumah keluarga di Kampung Chuah, Port Dickson, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Lokasi mangsa rebah dipercayai ditikam oleh adiknya dengan senjata tajam selepas berlaku pergaduhan di rumah keluarga di Kampung Chuah, Port Dickson, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Port Dickson: Lelaki berusia 23 tahun yang menikam abangnya dalam kejadian pergaduhan di rumah keluarga di Kampung Chuah, di sini, semalam, ditahan polis petang tadi.

Difahamkan, suspek sempat menghadiri pengebumian jenazah abangnya di Sepang, Selangor, petang tadi bersama ahli keluarganya yang lain sebelum dinasihatkan ahli keluarganya supaya menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, suspek ditahan di Balai Polis Port Dickson selepas menyerah diri.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, mangsa Helmizi Imran, 33, meninggal dunia selepas ditikam oleh adik lelakinya itu selepas ditegur berebut alat kawalan jauh televisyen dengan salah seorang anak mangsa.

Mangsa yang parah di dada disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson, manakala suspek dikatakan melarikan diri ke rumahnya di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 11:34 PM