Keadaan jerebu di sekitar Shah Alam yang mencatat bacaan IPU 266 pada 1 petang tadi. - Foto SHAZREEN ZAMZURI
Keadaan jerebu di sekitar Shah Alam yang mencatat bacaan IPU 266 pada 1 petang tadi. - Foto SHAZREEN ZAMZURI
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat keputusan menangguhkan semua kuliah di UiTM Selangor pada esok berikutan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan tidak sihat pada hari ini.

Naib Canselornya Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hari ini.

Beliau berkata, penangguhan kuliah pada hari berikutnya akan diumumkan sehari sebelum tarikh penangguhan berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.

“Penangguhan ini hanya membabitkan jadual kuliah manakala peperiksaan akhir pelajar diploma diteruskan mengikut jadual. Begitu juga warga kerja dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.

“Bagi kampus negeri lain pula, pemakluman mengenai penangguhan kuliah berdasarkan bacaan IPU tertakluk pada keputusan Rektor Kampus masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau turut menasihatkan pelajar dan kakitangan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan gangguan kesihatan akibat jerebu seperti mengurangkan aktiviti luar, memakai topeng muka dan mengambil air yang mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 4:03 PM