Keadaan jerebu di Kuala Lumpur petang tadi dengan catatan IPU di Cheras ialah 77 pada jam 6 petang mengikut laman web JAS. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
Keadaan jerebu di Kuala Lumpur petang tadi dengan catatan IPU di Cheras ialah 77 pada jam 6 petang mengikut laman web JAS. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA

Georgetown: Jabatan Alam Sekitar dan pihak hospital perlu berbincang bagi memutuskan penggunaan teknologi kadar ukuran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata bacaan yang diguna di Malaysia pada masa ini lebih rendah membuatkan orang ramai mengambil mudah perkara berkaitan jerebu.

"Bacaan (IPU) kita rendah, bila rendah kita biar la...jadi kalau bacaan IPU tinggi (seperti di Singapura) kita masih rendah dan sebab itu kita tidak melakukan pencegahan (kesihatan) awal.

“Jadi saya harap kementerian dan pihak hospital berbincang supaya mungkin kita menjadikan bacaan sama dengan negara jiran," katanya selepas merasmikan Hari Jantung Sedunia 2015 di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Bacaan IPU, parameter yang digunakan Malaysia ketika ini berdasarkan habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10) berbanding bacaan 2.5 mikrometer (PM2.5), mengikut protokol antarabangsa.

Kiraan IPU berdasarkan PM2.5 akan memberi bacaan lebih tinggi berbanding IPU berdasarkan PM10.

Malaysia dilapor akan melaksanakan sistem IPU seperti Singapura yang menggunakan pengukuran pencemar 2.5 mikrometer (PM2.5) selewat-lewatnya pada 2017.

Dr Hilmi berkata apabila berlaku jerebu ramai mendapat penyakit lelah dan kes berkaitan pernafasan yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital juga meningkat sehingga 50 peratus.

"Jadi saya kira sudah sampai masa Kementerian (Sumber Asli dan) Alam Sekitar tengok tentang kadar teknologi ukuran (IPU) ini," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:23 PM