KENDERAAN memasang lampu berikutan jerebu dan hujan lebat di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). FOTO Surianie Mohd Hanif
KENDERAAN memasang lampu berikutan jerebu dan hujan lebat di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). FOTO Surianie Mohd Hanif
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman Web Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menimbulkan kekeliruan orang ramai kelmarin, adalah tepat berdasarkan standard protokol antarabangsa.

Dalam kenyataan dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bacaan IPU tahap sederhana itu tidak selari dengan jarak penglihatan yang rendah (kurang dari satu kilometer di beberapa kawasan).

"Jarak penglihatan itu dapat dikesan dengan serta merta yang dapat dilihat ketika jerebu berlaku.

"Sistem pengiraan bacaan IPU adalah berdasarkan pengukuran habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10) dalam tempoh 24 jam sebagai tahap pendedahan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan orang awam.

"Sementara itu, jarak penglihatan pula dikira berdasarkan cerapan dalam tempoh singkat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjadikan bacaan IPU mengambil masa untuk mencapai tahap tidak sihat apabila perlu mengambil kira bacaan purata PM10 untuk tempoh 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 9:46 PM