SELANGOR belum menang di Shah Alam dalam aksi Piala Malaysia musim ini.
SELANGOR belum menang di Shah Alam dalam aksi Piala Malaysia musim ini.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jodoh Mehmet Durakovic bersama Merah Kuning semakin kabur apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) difahamkan sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa jurulatih untuk mengambil alih tempatnya.

Menurut sumber, antara jurulatih berkenaan adalah Datuk K Rajagobal (sebelum beliau dilantik jurulatih Sarawak), bekas jurulatih negara Dollah Salleh, pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee dan pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan.

“Bagaimanapun ia masih pada peringkat awal, tiada sebarang kata putus atau keputusan dibuat,” menurut sumber berkenaan.

Durakovic yang dilantik jurulatih Selangor sejak 2014 berdepan tekanan meninggalkan skuad Gergasi Merah itu selepas gagal membawa sebarang kejuaraan kepada pasukan yang pernah dilabel kuasa bola sepak tempatan itu.

Arena Metro semalam melaporkan gesaan peminat agar Durakovic meletakkan jawatan secara sukarela sekiranya gagal dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Bekas tonggak Selangor berkenaan masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim depan.

Selangor akan turun menentang Kelantan di Kota Bharu malam ini dengan misi memburu tiga mata kerana saingan yang masih terbuka membabitkan empat pasukan bertanding.

Selepas tiga perlawanan, Merah Kuning melakar satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

“Memang ada cadangan untuk merehatkan beliau selepas gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan di tempat sendiri, namun ditangguhkan terlebih dulu.

“Malah corak permainan yang ditampilkan Selangor ketika menewaskan T-Team juga tidak begitu meyakinkan pihak pengurusan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:00 AM