Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Walaupun pernah disingkirkan tanpa alasan kukuh selepas memberikan Piala Malaysia ke-33 musim lalu, situasi itu langsung tidak menghalang Mehmet Durakovic (gambar) untuk menyuarakan minat membimbing Selangor.

Menyingkap detik perpisahan awal musim ini, beliau mengakui cukup sedih dan sama sekali tidak menduga perkhidmatannya ditamatkan apabila pengurusan Merah Kuning mengikat Zainal Abidin Hassan untuk mengambil tempatnya.

Namun, disebabkan atas dasar sayang dan cintanya terhadap Selangor, beliau rela melepaskan tanggungjawabnya itu sambil mengharapkan Zainal mampu meneruskan kecemerlangan pasukan musim ini.

“Saya sentiasa merindui suasana dalam pasukan ini dengan kemasyhuran, barisan pemainnya serta penyokong yang tidak jemu memberikan sokongan. Sudah pasti saya mahu kembali jika mendapat peluang berbuat demikian.

“Saya sentiasa memiliki hubungan istimewa bersama pasukan ini. Jadi, jika mereka masih memerlukan saya rasa sukar untuk menolak tawaran itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Durakovic, 51, bukan asing bagi Selangor kerana selain bergelar jurulatih pasukan itu selama tiga musim, beliau juga pernah bergelar pemain dari musim 1995-1998.

Sepanjang beraksi untuk Selangor, beliau dilantik selaku ketua pasukan dan membantu negeri itu melakar kejuaraan hatrik (1995, 1996 & 1997) Piala Malaysia.

“Begitupun, saya tak mahu bercakap lebih kerana sehingga ke hari ini (semalam) masih belum menerima sebarang tawaran rasmi FAS (Persatuan Bolasepak Selangor),” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, difahamkan Durakovic antara tiga calon disenarai pendek untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Zainal selepas bekas pemain kebangsaan itu dipecat Ahad lalu.

Selain Durakovic, FAS turut berminat mendapatkan khidmat bekas jurulatih kecergasan Kedah Ramon Marcote dan bekas pengendali Bengaluru FC, Ashley Westwood. Bagaimanapun, badan induk bola sepak negeri itu dikatakan lebih berminat untuk mendapatkan Marcote yang ketika ini berada di Sepanyol.

Marcote yang pernah menjadi penolong jurulatih Atletico Madrid, berjaya membawa Kedah ke pentas final ketika memangku tanggungjawab jurulatih berikutan ketiadaan Tan Cheng Hoe yang mengikuti kursus kejurulatihan pro di China.

Kepintaran Marcote mengemudi skuad Helang Merah tidak dapat dinafikan kerana skuad itu berjaya menewaskan dua pasukan Liga Super di peringkat suku dan separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas perlawanan akhir kepada Selangor musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:59 AM