BEREGU negara Aaron-Wooi Yik sumbang mata tunggal negara. FOTO Ihsan BAM
BEREGU negara Aaron-Wooi Yik sumbang mata tunggal negara. FOTO Ihsan BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara selepas tewas pada India 1-4 dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Pusat Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Perseorangan lelaki nombor sembilan dunia, H.S Prannoy mengumpul mata sulung untuk India apabila beliau bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengetepikan jaguh negara Lee Zii Jia, 18-21, 21-13, 25-23 dalam perlawanan pembukaan.

Kemenangan Prannoy memberi lebih keyakinan kepada juara dunia perseorangan wanita 2019, Pusarla V. Sindhu, yang mudah menundukkan pemain muda negara Wong Ling Ching, 21-13, 21-17.

Juara dunia, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengurangkan defisit kekalahan dengan menewaskan Dhruv Kapila-Chirah Shetty, 21-16, 21-10.

Bagaimanapun, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, yang menduduki ranking ke-19 dunia, muncul wira India selepas mereka mengejutkan beregu wanita utama Malaysia yang juga beregu nombor lima dunia Pearly Tan-M.Thinaah, 23-21, 21-15, sekali gus menjadikan India juara kumpulan.

Beregu campuran nombor 26 dunia, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto, melengkapkan kemenangan India dengan meraih mata keempat, meskipun berdepan tentangan hebat daripada gandingan meningkat naik negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-19, 19-21, 21-16.

Sementara itu, Kazakhstan memperoleh tempat ketiga Kumpulan B selepas mengalahkan UAE, 3-2.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik layak secara automatik untuk Piala Sudirman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 7:40 AM