V SHEM (kiri) dan Wee Kiong mara ke pusingan kedua.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong mara ke pusingan kedua.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Hanya beregu lelaki meneruskan perjuangan di Siri Super Terbuka Australia 2015, apabila seorang demi seorang wakil negara tumbang pada pusingan pertama di Sydney semalam.

Beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua selepas berhempas-pulas menumbangkan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-9, 18-21, 30-28.

“Pada set penentuan, pasangan Denmark itu sudah mendapat keyakinan dan menyukarkan kami. Kami bernasib baik apabila akhirnya menang perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Menanti mereka di pusingan kedua pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa yang sebelum itu menewaskan Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dari Russia 21-19, 21-18.

”Mereka kurang stabil apabila mendahului pihak lawan dan melakukan kesilapan mudah,” kata jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan.

Turut mara ke pusingan kedua bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang mengalahkan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-16, 20-22, 21-10.

Pada pusingan kedua hari ini mereka akan bertemu pasangan Taiwan (pilihan ketiga), Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin yang mengalahkan pasangan negara, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang 20-22, 21-19, 8-21.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng kecundang di pusingan pertama apabila tewas 14-21, 9-21 kepada pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il.

Perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi turut mengalami nasib sama apabila tumpas kepada wakil Jepun, Minatsu Mitani 8-21, 11-21.

Beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei kalah kepada pasangan Jepun yang juga pilihan ketiga Reika Kakiiwa-Miyuki Maeda 13-21, 17-21, nasib sama turut membelenggu Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho yang tumpas di tangan beregu Thailand, Duanganong Aroonkesorn-Kunchala Voravichitchaikul 13-21, 17-21.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Shin Baek Choel-Chae Yoo Jung 14-21, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 8:06 AM