V Shem (kiri) dan Wee Kiong  hilang rentak.
V Shem (kiri) dan Wee Kiong hilang rentak.

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tumbang di tangan gandingan Denmark, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding pada pusingan kedua Seluruh England di Birmingham, malam tadi.

Conrad Petersen-Pieler Kolding hanya mengambil masa 37 minit untuk menghantar pulang pasangan negara selepas mencatat kemenangan 21-15, 21-13.

Menurut Ketua jurulatih beregu negara Jeremy Gan, V Shem-Wee Kiong tidak bermain dengan baik, sekali gus menyebabkan pemain lawan mampu mengutip mata dalam tempoh singkat.

“Terlalu banyak yang diubah (corak permainan) ketika di dalam gelanggang dan mereka tidak bermain mengikut rentak sendiri,” katanya semalam.

Kelmarin, Conrad Petersen-Pieler Kolding mengejutkan pilihan utama dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong pada pusingan pertama apabila mencatat kemenangan 21-16, 21-19.

Mereka juga dilihat masih segar dengan kejayaan meraih kejuaraan Grand Prix (GP) Emas Terbuka Jerman 2015 awal bulan ini.

Kekalahan itu bermakna V Shem-Wee Kiong masih lagi gagal menamatkan kemarau beregu lelaki negara merangkul gelaran pada kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu.

Kali terakhir beregu lelaki negara menjulang trofi berprestij itu ialah melalui Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007 yang mengalahkan pasangan sensasi China Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18.

Sementara itu, beregu wanita utama negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei gagal meneruskan kemaraan apabila tumpas kepada pilihan keenam dari Jepun Reika Kakiiwa-Miyuki Maeda 21-15, 11-21, 16-21 di pusingan pertama.

Pasangan beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing pula mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Kim Gi Jung-Shin Seung Chan dari Korea Selatan, 21-19, 19-21, 21-19.

Mereka akan bertemu pilihan utama, Zhang Nan-Zhaoi Yunlei dari China pada pusingan kedua awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:57 AM