PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez (kanan) gagal julang Gunners.
PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez (kanan) gagal julang Gunners.

London: Arsene Wenger enggan dipersalahkan bagi krisis Liga Juara-Juara Arsenal selepas percaturannya memakan diri apabila kalah 2-3 di tangan Olympiakos.

Pasukan Wenger tidak pernah kalah dua perlawanan pertama pada Liga Juara-Juara namun mereka kecundang dua kali di tangan Dinamo Zagreb dan kini Olympiakos sekali gus menyukarkan kempen mereka dalam Kumpulan F.

Keputusan Wenger melakukan banyak rombakan bagi kedua-dua perlawanan Eropah itu menyebabkan Arsenal berada dalam bahaya gagal layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Selepas melakukan enam perubahan ketika kalah di Zagreb awal bulan ini, Wenger sekali lagi mencetus kebimbangan apabila melakukan lima perubahan bagi kunjungan Olympiakos ke Stadium Emirates, awal pagi semalam.

Lebih mengejutkan beliau memutuskan meletakkan Petr Cech di bangku simpanan dan memilih David Ospina di pintu gol dan tindakan itu nyata salah kerana kesilapan pemain Colombia itu mengundang padah apabila dia menghadiahkan kelab Greece itu gol kedua.

Namun Wenger tetap tidak menyesal kerana gagal menurunkan barisan terbaiknya.

“Saya membuat keputusan, saya memilih pasukan dan bertanggungjawab terhadapnya,” ujar Wenger.

“Saya tahu banyak perkara yang mungkin anda tidak tahu dan tidak peduli.

“Anda tidak boleh memilih pasukan dengan mengadakan undian sebelum perlawanan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:21 AM