AFP

London: Arsene Wenger percaya kemenangan 3-0 pasukannya di Watford awal pagi semalam adalah persediaan paling baik menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, Rabu ini.

Setakat ini, Gunners masih belum berjaya mengutip sebarang mata dalam aksi peringkat Eropah selepas ditundukkan Dinamo Zagreb dan Olympiakos.

Namun persembahan mereka di Liga Perdana Inggeris pula agak meyakinkan dan kemenangan ke atas Watford hasil jaringan Alexis Sanchez, Olivier Giroud dan Aaron Ramsey kembali melonjakkan Arsenal ke tangga kedua.

“Bagi saya, perlawanan malam ini amat penting,” kata Wenger. “Kerana saya sedar pertamanya, kemenangan ini membolehkan kami terus berada di kelompok teratas liga.

“Kedua, cara terbaik untuk menyiapkan diri bagi perlawanan Rabu ini adalah dengan kemenangan.”

Wenger memilih untuk menurunkan barisan terbaiknya ketika menentang Watford yang dilihat berjaya menyaingi Arsenal hinggalah Sanchez memecah kebuntuan pada minit ke-62 untuk melakar gol ke-10 sepanjang enam perlawanan bersama kelab dan negaranya.

Semua pemain itu dijangka turun ketika menentang juara Jerman di Stadium Emirates, Rabu ini.

“Secara dasarnya tidak ada sebab untuk saya mengubah struktur pasukan,” kata Wenger.

“Mungkin ada satu atau dua, saya belum tahu lagi tapi saya akan melihat terlebih dulu bagaimana tahap kecergasan mereka.

“Saya berpeluang merehatkan Mesut Ozil dan Sanchez lebih awal.

“Kami perlu lebih tersusun ketika menentang Bayern. Kami akan melawan pasukan besar.

“Kami sedar kami berada dalam kedudukan buruk di Liga Juara-Juara. Kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa ketika menentang Bayern kerana itulah satu-satunya cara kami mampu terus kekal bersaing.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:22 AM