Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Daerah Tampin mungkin berdepan catuan air berikutan bekalan air di Empangan Gemencheh yang semakin kering.

Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan melaksanakan catuan itu sekiranya laporan oleh Jabatan Teknikal mendapati bekalan air terawat tidak mencukupi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, catuan itu bergantung kepada laporan yang akan dikeluarkan Jabatan Teknikal, dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah bekalan air di Empangan Gemencheh itu, SAINS dalam proses memasang paip berukuran 900 milimeter dari Kolam Imbangan Tudung Saji, Kepis, Kuala Pilah ke Empangan Gemencheh yang mampu membekalkan air terawat sehingga 7.5 juta liter sehari.

"Ini antara penyelesaian yang dilakukan bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk di Tampin," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 4:10 PM