Seoul: Tentera Korea Selatan semalam melepaskan tembakan amaran terhadap sebuah pasukan peronda Korea Utara berhampiran dengan sempadan di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan dua negara itu.

Bagaimanapun, peronda berkenaan tidak membalas tembakan dan akhirnya berlalu dari situ, kata jurucakap kementerian pertahanan.

Menurutnya kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 pagi apabila 10 askar Korea Utara dilihat bergerak menghampiri garisan sempadan.

“Selepas mengeluarkan amaran lisan, pihak kami melepaskan 20 tembakan amaran,” katanya.

Beberapa pertelingkahan kecil berlaku sejak beberapa bulan lalu di sempadan darat serta laut Korea dengan kedua-dua pihak berbalas tembakan namun tiada kecederaan dilaporkan.

Walaupun digelar zon bebas tentera, DMZ mungkin antara lokasi sempadan paling dikawal dunia malah dilengkapi pelbagai senjata termasuk periuk api dan menara kawalan.

Korea Utara dan Selatan masing-masing berusaha mengadakan perbincangan namun saling menuduh mereka tidak ikhlas mahukan penyelesaian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:06 AM