KANAK-kanak di bandar Paju, Korea Selatan yang berhampiran dengan sempadan Korea Utara masuk ke dalam kubu bawah tanah sebagai persediaan sekiranya diserang.
KANAK-kanak di bandar Paju, Korea Selatan yang berhampiran dengan sempadan Korea Utara masuk ke dalam kubu bawah tanah sebagai persediaan sekiranya diserang.
AFP

Seoul: Tentera Korea Selatan dan Korea Utara semalam bersetuju untuk mengadakan rundingan peringkat tertinggi bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

Rundingan itu diadakan di kampung Panmunjom yang terletak di sempadan, beberapa jam sebelum tarikh akhir diberikan Pyongyang untuk Seoul menutup pembesar suara yang menyiarkan propaganda ke negara komunis itu.

Setiap negara seteru itu akan menghantar dua wakil termasuk Penasihat Keselamatan Korea Selatan, Kim Kwan-Jin dan orang kanan pemimpin Korea Selatan Kim Jong-Un, Hwang Pyong-So.

Pejabat Presiden Korea Selatan berkata, rundingan itu dijadualkan bermula pada jam 6 petang waktu Korea Selatan.

Ketegangan memuncak selepas tentera Korea Utara melepaskan tembakan meriam sebelum dibalas tentera Korea Selatan pada Khamis lalu.

Pyongyang melepaskan tembakan meriam itu sebagai amaran selepas Seoul enggan menutup siaran pembesar suara di kawasan sempadan.

Tentera Korea Utara dilaporkan berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan hanya menunggu arahan daripada Jong-Un.

Jong-Un sebelum ini memberi amaran, Pyongyang bersedia melancarkan perang habis-habisan jika Seoul masih enggan menghentikan siaran pembesar suara itu pada masa yang ditetapkan.

Kementerian Luar Korea Utara semalam juga memberi amaran situasi kini di ambang perang dan sukar dikawal.

Secara teknikal kedua-dua negara itu masih berperang kerana konflik antara mereka yang bermula pada 1950 hingga 1953 berakhir dengan gencatan senjata tanpa perjanjian damai secara rasmi.

Sementara itu, Amerika Syarikat menegaskan mereka akan melindungi sekutu rapatnya itu jika diserang Korea Utara.

Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Jeneral Martin Dempsey menyatakan komitmen itu ketika menghubungi rakan sejawatannya di Korea Selatan kelmarin.

Dalam pada itu, penduduk di Korea Selatan dilihat masih menjalankan aktiviti seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang keadaan panik berhubung situasi berkenaan.

Kali terakhir Korea Utara membedil negara jirannya itu adalah pada November 2010 yang menyebabkan dua penduduk dan dua askar terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:06 AM