Agensi

Seoul: Korea Selatan semalam melepaskan puluhan tembakan terhadap Korea Utara selepas negara jirannya menembak roket ke arah pekan kecil berhampiran sempadan, kata kementerian pertahanannya, semalam.

Korea Utara sebelum ini mengancam menyerang pembesar suara di sempadan Korea Selatan yang baru-baru ini mula menyiarkan propaganda anti-Pyongyang selepas ‘diam’ selama 11 tahun.

Seoul turut menuduh Pyongyang meletakkan periuk api di sebelah Korea Selatan di Zon Bebas Tentera yang mengakibatkan dua askarnya cedera, awal bulan ini. Tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya Pyongyang.

Dalam satu kenyataan, kementerian pertahanan berkata pelurunya membedil lokasi Korea Utara melepaskan roket. Tiada kecederaan dilaporkan.

Korea Utara tidak bertindak balas terhadap serangan Korea Selatan, tetapi tenteranya kemudian memberi amaran tindakan ketenteraan lanjut akan diambil dalam tempoh 48 jam jika Korea Selatan tidak menurunkan pembesar suara berkenaan.

Kira-kira 80 penduduk di pekan Yeoncheon yang dibedil roket itu dipindahkan manakala di Paju yang terletak berhampiran, penduduknya diarahkan tidak keluar dari rumah.

Di pulau Ganghwa, penduduk yang tinggal dekat dengan pembesar suara juga dipindahkan.

Agensi berita Yonhap melaporkan 2,000 penduduk di sekitar sempadan dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 10:49 AM