SISTEM pelancar roket berganda (MLRS) Korea Selatan ditempatkan di selatan zon bebas tentera yang memisahkan kedua-dua negara Korea di Yeongcheon, Korea Selatan, semalam, sebagai menghadapi kemungkinan perang.
SISTEM pelancar roket berganda (MLRS) Korea Selatan ditempatkan di selatan zon bebas tentera yang memisahkan kedua-dua negara Korea di Yeongcheon, Korea Selatan, semalam, sebagai menghadapi kemungkinan perang.
Agensi

Seoul: Pembantu kanan pemimpin Korea Utara dan Selatan menyambung semula rundingan mereka semalam dalam usaha mengendurkan ketegangan yang membabitkan berbalas-balas tembakan meriam hingga mencetuskan kebimbangan perang mungkin berlaku di semenanjung itu.

Mesyuarat di kampung gencatan senjata Panmunjom di zon tanpa tentera (DMZ) bermula awal kelmarin sejurus selepas tempoh yang diberikan Korea Utara supaya Seoul menghentikan propaganda anti-Pyongyang yang disiarkan Korea Selatan atau berdepan dengan tindakan tentera, berakhir.

Tentera kedua-dua negara berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya ketika rundingan itu disambung semula petang semalam.

Korea Utara dikatakan menempatkan dua kali ganda kekuatan pasukan meriamnya di sempadan dan mengerahkan sebahagian besar kapal selamnya, lebih 50, untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang.

Korea Selatan yang tenteranya juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berkata, ia tidak merancang menghentikan siaran propaganda itu, punca ketegangan terbaru antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataannya, istana presiden di Seoul berkata, mesyuarat berkenaan bertujuan mengendurkan ketegangan dan meningkatkan hubungan.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan menunjukkan perwakilan kedua-dua negara berjabat tangan dan tersenyum pahit sebelum berunding.

Secara teknikalnya, kedua-dua negara masih dalam keadaan berperang memandangkan perang 1951-53 antara mereka berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

Ketegangan terbaru itu bermula awal bulan ini apabila dua askar Korea Selatan cedera terkena periuk api. Korea Utara menafikan ia memasang periuk api itu.

Beberapa hari kemudian, Seoul memulakan siaran propaganda yang termasuk siaran berita dan muzik K-pop, menggunakan pembesar suara yang dihala ke Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:20 AM