Seorang lelaki terbunuh ketika menggunakan mesin ATM dalam serangan. FOTO Pulse.Ng
Seorang lelaki terbunuh ketika menggunakan mesin ATM dalam serangan. FOTO Pulse.Ng
Agensi

Kano (Nigeria): Seramai 15 orang maut selepas sekumpulan lelaki bersenjata merompak dua bank dan dan menyerang balai polis di pekan Offa, di tengah Nigeria, semalam.

Jurucakap polis negeri Kwara, Ajayi Okasanmi, berkata kumpulan lelaki berkenaan menyerang balai polis dan pada masa sama, turut merompak dua bank berhampiran.

“Seramai sembilan anggota polis dan enam orang awam terbunuh dalam serangan berkenaan,” katanya.

Okasanmi berkata, kumpulan penyerang itu menyerbu kawasan perniagaan yang sibuk pada jam 4.50 petang (waktu tempatan).

“Pihak polis akan berusaha sebaik-baiknya untuk memastikan semua penyerang berkenaan berjaya ditangkap,” katanya sambil memberitahu, jumlah kerugian akibat rompakan itu masih belum diketahui.

Serangan terbabit berlaku di bahagian tengah Nigeria yang terkenal sebagai pusat aktiviti jenayah.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari sebelum ini terpaksa menggerakkan pasukan keselamatan untuk bertugas di seluruh negara bagi mengawal keganasan sering berlaku akibat pemberontakan militan Boko Haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:09 PM