SUMALI harap skuad takraw negara mampu tepati sasaran ditetapkan.
SUMALI harap skuad takraw negara mampu tepati sasaran ditetapkan.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Satu pingat emas dalam acara double sepak takraw dan chinlone menjadi sasaran buat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada temasya Sukan Sea Kemboja di Phnom Penh, Mei ini.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selain dua emas, PSM turut menyasarkan tiga perak dan satu gangsa bagi acara sepak takraw manakala bagi chinlone satu perak dan empat gangsa.

Menurut Sumali, kesemua atlet yang berjumlah keseluruhannya 27 orang melibatkan sukan sepak takraw dan chinlone akan berada dalam kategori A yang mana kos perbelanjaan atlet berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Syukur alhamdulillah kita akan sertai sepak takraw dan chinlone dalam kategori A. Untuk skuad lelaki kita ada 12 pemain sepak takraw dan enam pemain chinlone manakala skuad wanita sembilan atlet akan sertai Sukan Sea Kemboja.

"Bagi skuad lelaki kita akan sertai acara berpasukan regu, regu dan double. Untuk wanita mereka akan sertai acara berpasukan double dan Quadrant.

"Sasaran kita satu pingat emas menerusi double lelaki, tiga perak dan satu gangsa bagi acara sepak takraw dan chinlone pula sama seperti diraih pada 2017 satu emas satu perak empat gangsa.

"Saya harap dibawah kepimpinan struktur baru jurulatih skuad negara Ahmad Jais, kita ingin lihat perubahan prestasi skuad negara terutama skuad Sukan Sea Kemboja," katanya.

Untuk rekod, pada temasya Sukan Sea Hanoi tahun lalu, skuad sepak takraw gagal membawa pulang pingat emas dan sekadar meraih tiga perak dan satu gangsa.

Dalam pada itu itu, Sumali ketika ditanya berkenaan pemain yang akan dihantar beraksi di temasya dwi tahunan, beliau mengakui masih belum ada senarai spesifik buat masa ini.

Jelasnya, pihaknya akan melakukan pemilihan pemain yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 24 Februari ini sebelum memuktamadkan atlet yang akan menggalas cabaran negara di temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 5:50 PM