ZAMBRY (dua dari kanan) menerima piala Road to HPPNK 2015 daripada Nogeh (kanan).
ZAMBRY (dua dari kanan) menerima piala Road to HPPNK 2015 daripada Nogeh (kanan).
ZAMBRY melihat ternakan pada pameran Agrofest dan Road to HPPNK 2015.
ZAMBRY melihat ternakan pada pameran Agrofest dan Road to HPPNK 2015.
HARIS Karim menyusun buah-buahan di gerainya.
HARIS Karim menyusun buah-buahan di gerainya.
PENGUNJUNG memilih bunga hiasan.
PENGUNJUNG memilih bunga hiasan.
PENGUNJUNG memegang arnab.
PENGUNJUNG memegang arnab.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Kerajaan mempertimbangkan pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada petani, nelayan dan penternak yang menjalankan kegiatan berasaskan pertanian untuk sara diri.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek berkata, cadangan pengecualian itu juga ada disuarakan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) pada mesyuarat agung tahunannya di ibu negara bulan lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, cadangan itu masih dalam peringkat kajian dan penyelidikan membabitkan beberapa perkara.

“Kita masih melakukan kajian terhadap permintaan berkenaan termasuk cadangan supaya bahan import untuk pertanian seperti makanan haiwan dan baja dikecualikan daripada GST.

“Kita bakal mengemukakan perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum pembentangan Bajet 2016 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Penternak, Peladang, dan Nelayan Kebangsaan Negeri Perak (Agrofest 2015) dan Road To HPPNK 2015 peringkat Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Perak Datuk Saarani Mohamad dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Sementara itu, Zambry berkata, perkara ini dicadangkan Pertubuhan Peladang Perak dan pihaknya berpendapat tidak boleh mentakrifkan secara umum semua hasil pertanian sebaliknya perlu dibuat pengelasan supaya ada produk hasil pertanian yang boleh dikecualikan daripada GST.

“Pengecualian GST mungkin boleh dilaksanakan kepada petani sara diri antara lain mempunyai pendapatan di bawah RM500,000 setahun dan keluasan tanah yang tidak besar.

“Ia boleh dibuat berdasarkan pengelasan tertentu, tapi saya lebih cenderung pengecualian dalam kategori sara diri yang turut membabitkan aktiviti pemprosesan hasil pertanian,” katanya.

Menurut Zambry, program Agrofest dan Road to HPNNK 2015 adalah satu pameran pertanian dan dilihat sebagai satu platform strategik kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan informasi terkini dalam bidang berkaitan di negara ini dan Perak khasnya.

Katanya, Agrofest terus bergerak ke hadapan dalam mentranformasikan pertanian menjadi sektor yang lebih dinamik, inovatif, kompetitif dan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan industri pertanian yang lestari sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan memberi kesejahteraan rakyat negara ini.

“Kita mengharapkan supaya pertumbuhan industri pertanian dapat ditingkatkan dan diperkayakan supaya matlamat menjadikan Perak sebagai pengeluar makanan utama negara dapat dicapai pada masa depan,” katanya.

Saarani pula berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat mempamerkan inovasi dan teknologi terkini yang terdapat di pasaran tempatan serta antarabangsa.

Diharap ia boleh dimanfaatkan golongan sasar dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.

Katanya, semua pihak terutama syarikat dan pengusaha digalakkan merebut peluang dan terbabit dalam sektor pertanian yang lebih moden.

“Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat dan insentif membantu pengusaha meningkatkan kualiti produk dan seterusnya menjana pendapatan,” katanya.

Program Agrofest 2015 dengan tema Agroteknologi Pemangkin Transformasi padat dengan pelbagai program antaranya pameran, jualan produk berasaskan penternakan, peladangan dan nelayan sekali gus membuka peluang kepada masyarakat tempatan mempromosi barangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 8:37 AM