ORANG ramai mengunjungi gerai pameran.
ORANG ramai mengunjungi gerai pameran.
ORANG ramai membeli buah-buahan.
ORANG ramai membeli buah-buahan.
PENGARAH Operasi MJ Fatonah, Mohamad Jamil Mahidin (dua dari kiri) menerangkan mengenai operasi penternakan.
PENGARAH Operasi MJ Fatonah, Mohamad Jamil Mahidin (dua dari kiri) menerangkan mengenai operasi penternakan.
PELUANG perniagaan terbuka luas.
PELUANG perniagaan terbuka luas.
Oleh Mohamad Hussin


Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Selangor (HPPNS) 2015 diadakan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Kuala Selangor, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim.

Terdahulu, Ahmad Shabery melawat Akademi Penternakan MJ Fatonah yang diusahakan Siti Fatonah Arbain di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Ahmad Shabery berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM6 bilion dalam Bajet 2015 bagi memastikan sektor pertanian menjadi sektor yang berdaya saing dan maju.

Beliau berkata, ia mampu melahirkan usahawan dan agropreneur muda yang berjaya dalam bidang pertanian pada masa depan.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sentiasa memberikan keutamaan kepada masyarakat tani bagi meningkatkan pengeluaran menerusi bantuan tanaman, baja, subsidi dan pemasaran.

“Setiap tahun bantuan dan subsidi yang diperuntukkan kepada masyarakat tani melebihi RM3 bilion dan jumlah ini tidak termasuk elaun sara hidup kepada nelayan.

“Kerajaan meningkatkan bantuan elaun sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM300 sebulan manakala nelayan darat turut menerima elaun sara hidup RM200 mulai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, untuk subsektor tanaman padi saja, kerajaan memperuntukkan RM235 juta bagi menyediakan pelbagai kemudahan termasuk subsidi dan infrastruktur.

“Kerajaan juga meluluskan Dana Peladang Kebangsaan berjumlah RM100 juta untuk tujuan pinjaman yang boleh dimanfaatkan oleh Pertubuhan Peladang dan ahli secara keseluruhannya.

“Bagi sektor perikanan, kerajaan memperuntukkan RM5.65 juta di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) untuk pinjaman mudah kepada ahli mereka khususnya yang mengalami masalah kebergantungan kepada orang tengah,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, dengan peruntukan yang disalurkan itu, kerajaan berharap supaya petani dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk membantu kerajaan mempertingkatkan penghasilan dan produktiviti padi.

“Kerajaan menggalakkan peladang, penternak dan nelayan menghasilkan produk tertumpu (niche) selain berusaha mencapai 100 peratus Tahap Sara Diri (SSL).

“Rakyat perlu melihat pertanian sebagai industri yang boleh menyumbang kepada pendapatan negara melalui tukaran mata wang.

“Pengeluar produk makanan perlu memikirkan untuk mengeksport hasil keluaran mereka terutama produk ‘niche’,” katanya.

Menurutnya, program HPPN antara lain bertujuan memupuk minat masyarakat untuk bertani ke arah merealisasikan transformasi pertanian kepada perniagaan tani melalui pelbagai aktiviti seperti pameran dan jualan.

“Program ini dapat memberi pemahaman dan pendedahan mengenai inisiatif kerajaan untuk menggembleng industri pertanian sebagai sektor utama pembangunan ekonomi negara.

“Penganugerahan kepada usahawan tani yang diberikan untuk sambutan HPPNS bukan sekadar kayu pengukur untuk memberikan pengiktirafan kepada usahawan berjaya, tetapi diharap menjadi pemangkin dan semangat kepada mereka untuk terus berusaha memajukan pertanian negara,” katanya.

Sementara itu, katanya, MOA akan menyuarakan keluhan golongan penternak yang terkesan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke mesyuarat Kabinet.

“Ada penternak mendakwa kerugian kerana tidak boleh mengenakan GST ke atas ternakan yang dijual sedangkan makanan, vaksin dan vitamin yang dibeli untuk ternakan dikenakan cukai berkenaan.

“Saya menerima memorandum daripada penternak, mendakwa terbeban dengan GST yang dikenakan terhadap makanan, vaksin dan vitamin untuk ternakan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:01 AM