AB Rauf menyampaikan anugerah pertanian sempena Melaka Agrofest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh. FOTO Amir Mamat
AB Rauf menyampaikan anugerah pertanian sempena Melaka Agrofest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Ayer Keroh: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pertanian supaya melakukan kajian terhadap sawah terbiar di negeri ini untuk dijadikan kawasan tanaman keterjaminan makanan berteknologi tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata langkah terbabit adalah sebagai usaha memanfaatkan kawasan tanah terbiar untuk diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman yang mampu menampung keperluan semasa penduduk di negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mahu kajian itu dilakukan segera bagi membolehkan proses penanaman dilaksanakan menerusi suntikan modal daripada pihak kerajaan.

"Kita komited dalam menyokong agenda Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 untuk menjadikan sektor pertanian di negeri ini sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi sehingga dapat memacu ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

"Namun, dalam mendokong agenda ini, kita perlu sedar bahawa kita berdepan dengan kesediaan tanah pertanian yang terhad di Melaka.

"Berdasarkan Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) oleh

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), seluas 11,398.67 hektar kawasan pengeluaran makanan di negeri ini direkodkan pada 2021 merangkumi kawasan perikanan, pertanian, penternakan dan lain-lain.

"Melalui kajian ini juga, menjelang 2040, sekurang-kurangnya seluas 21,757.63 hektar atau 13.01 peratus kawasan pengeluaran makanan perlu dijamin untuk memastikan sekuriti makanan dapat dicapai secara holistik dan menyeluruh di Melaka seterusnya menyokong pengeluaran makanan di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Melaka Agrofest 2023 bertemakan Sekuriti Makanan Tanggungjawab Bersama di Dataran Sejarah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai persediaan Tahun Melawat Melaka tahun depan, beliau berkata kerajaan negeri menjenamakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kepada Melaka Agrofest sebagai langkah meningkatkan mutu pencapaian hasil pertanian.

Katanya, langkah itu sekali gus mengiktiraf dan mengangkat sektor pertanian negeri selain meraikan semua peladang, penternak dan nelayan yang selama ini bertungkus lumus dalam menyokong sekutiri makanan negara.

"Menerusi penganjuran Melaka Agrofest 2023 ini, kita menyasarkan jumlah pengunjung seramai 25,000 orang dengan catatan nilai jualan berjumlah RM1 juta sepanjang program ini berlangsung sehingga esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 5:27 PM