NAJIB diramah mesra dengan orang ramai ketika hadir  Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015.
NAJIB diramah mesra dengan orang ramai ketika hadir Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015.
Oleh Shamran Sarahan


Kota Samarahan: Pembangunan sektor pengeluaran agro makanan negara perlu lebih dinamik, moden dan berinovasi bagi mengimbangi dagangan import yang ketika ini pada tahap defisit.

Ini berikutan negara masih terlalu bergantung kepada bahan makanan import bagi menampung keperluan penduduk kerana ketidakmampuan sektor itu menghasilkan bekalan mencukupi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, golongan peladang, petani, penternak dan nelayan tidak boleh lagi terperangkap dalam kerangka minda lama yang menganggap bidang terbabit hanya sebagai satu aktiviti sara diri.

Beliau berkata, negara masih mengalami defisit RM17 bilion setahun dalam sektor itu dan sumbangan golongan terbabit untuk memajukan agro pemakanan amat diperlukan bagi membantu mengimbangi dagangan import selain mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan luar.

“Kami mesti membuat anjakan minda untuk melihat pembangunan dalam sektor ini, umpamanya Belanda yang saiz negaranya lebih kecil dari Sarawak boleh menjuarai eksport pertanian dunia.

“Begitu juga Jepun, Taiwan dan Australia yang maju dalam bidang pertanian dan penternakan mereka dengan mengamalkan teknologi serta inovasi yang membawa kepada produktiviti lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015 di pekarangan Dewan Suarah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:08 AM