AHMAD Shabery menebar jala sebagai gimik pelancaran.
AHMAD Shabery menebar jala sebagai gimik pelancaran.
Teks dan gambar Baharom Bakar

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) pe­ringkat negeri Terengganu 2015 di Kuala Kemaman, Chukai, Terengganu, selama lima hari berjaya menarik lebih 250,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Lebih membanggakan, HPPN bertemakan ‘Agroteknologi Pemangkin Transformasi Agropreneur’ yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu menarik lebih 1,500 peladang, penternak dan nelayan membuka gerai mempamerkan hasil pertanian, penternakan dan pelbagai peralatan perikanan, selain jualan oleh usahawan tani.

Usahawan tani, ternakan dan nelayan berjaya memperoleh hasil jualan melebihi RM1.5 juta apabila produk yang dihasilkan dibeli pengunjung.

Pameran ternakan, antaranya unta, lembu, kambing, biri-biri dan pelbagai jenis burung termasuk burung unta antara yang mendapat sambutan.

Kebanyakan pengunjung teruja dengan pameran dan tidak melepaskan peluang menikmati makanan tradisional dan buah-buahan tempatan yang dijual secara terus oleh peladang.

Pameran bukan saja mendapat perhatian golongan peladang, penternak dan nelayan, malah menarik minat remaja untuk menceburi bidang itu selepas mendengar taklimat mengenai peluang disediakan kerajaan melalui agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Selain promosi dan jualan pelbagai hasil pertanian dan industri asas tani, pelbagai acara diadakan termasuk pameran sektor swasta serta jabatan dan agensi kerajaan.

Sempena HPPN peringkat negeri itu, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman mengumumkan khabar gembira kepada golongan peladang dan penternak serta nelayan apabila kerajaan bercadang mengkaji skim insurans bersesuaian untuk golongan itu bagi melindungi hasil mereka jika ditimpa bencana.

Dengan adanya skim itu, secara tidak langsung ia dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan ramai terutama golongan belia menceburi bidang pertanian.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan akan melakukan perbinca­ngan dengan ejen insurans mengenai bentuk bayaran dikenakan kepada peladang dan penternak.

“Kita mesti melihat bidang pertanian sebagai berisiko tinggi dan memikirkan perlindungan terbaik supaya pelaburan tidak mengalami kerugian jika berlaku kemusnahan.

“Jika tiada perlindungan insuran atas usaha mereka, mungkin tidak ramai berminat menceburi bidang ini, sekali gus memberi kesan kepada hasil pertanian dan bekalan makanan negara,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri Nawi Mohamad, Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Sementara itu, seorang penternak Mat Rusli Ismail, 47, dari Kampung Wakad Dua, Marang, berjaya membawa pulang kereta Perodua Axia bernilai RM35,000 apabila lembu ternakannya yang diberi nama James Bond dipilih pemenang pertandingan ‘Mr Lembu 2015’ peringkat negeri.

Mat Rusli berkata, sepanjang menjadi penternak lembu 13 tahun lalu, ini kali pertama ternakannya menggondol hadiah utama dalam pertandingan disertai.

“Saya tak pernah menyangka lembu dari baka KK atau kacukan Kedah-Kelantan berusia dua tahun ini membawa tuah kerana terpaksa bersaing dengan tujuh penternak lain dari seluruh negeri.

“Sebelum ini, saya menternak sehingga lebih 70 ekor lembu dan keunikan James Bond berbanding lembu lain ialah sepasang tanduknya yang berwarna merah,” katanya.

Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, pertandingan Mr Lembu yang pertama kali diperkenalkan kerajaan negeri bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk di negeri berkenaan terbabit dalam bidang penternakan lembu.

“Selain menggalakkan lebih ramai menjadi penternak lembu, kita juga mahu penternak lebih bertanggung­jawab menjaga ternakan dengan tidak membiarkan haiwan itu berkeliaran tanpa kawalan.

“Pada masa sama kita mahu jadikan Terengganu sebagai pusat pengumpulan untuk pertandingan lembu dan tidak mahu terlalu bergantung kepada daging import semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:05 AM