AHMAD Shabery menunjukkan  poster sambutan HPPNK 2015.
AHMAD Shabery menunjukkan poster sambutan HPPNK 2015.
Oleh Hamizah Badiran

Sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia, Agroteknologi Pemangkin Transformasi dipilih sebagai tema sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 (HPPNK).

Akan berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini hingga 3 Disember di pekarangan Dewan Suarah, Kota Samarahan, Sarawak, HPPNK menyediakan lebih 400 ruang pameran dan jualan mengikut segmen khas untuk pengunjung pada kali ini melihat lebih dekat kepelbagaian produk yang ditawarkan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, acara tahunan itu adalah pameran pertanian dan produk industri asas tani yang terbesar di Malaysia.

“Ia bukan hanya sekadar pertandingan atau pertunjukan pertanian semata-mata, malah ia juga satu pengiktirafan serta penghormatan kerajaan kepada masyarakat peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani seluruh negara.

“Ini kerana, peranan dan jasa mereka dalam menghasilkan pengeluaran bahan makanan serta pertanian untuk keperluan negara amat tinggi,” katanya.

Objektif HPPNK ialah mengiktiraf peranan peladang, penternak dan nelayan sebagai golongan yang menyediakan sumber makanan negara selain menggalakkan mereka supaya bersatu dalam pergerakan pertubuhan peladang dan persatuan nelayan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta membanteras kemiskinan.

Tidak cukup dengan itu, HPPNK juga menjadi landasan untuk mereka memperbaharui azam dan semangat agar lebih gigih dalam usaha meningkatkan kualiti hasil pertanian, ternakan, tangkapan ikan dan sebagainya.

Menurut Ahmad Shabery, pencapaian prestasi mereka juga boleh dinilai dan diukur melalui pertandingan yang diadakan di HPPNK.

“Malah, mereka turut mendapat faedah lain apabila pelbagai teknologi atau hasil kajian baru dijalankan jabatan, agensi kerajaan atau swasta yang bersesuaian dengan sektor ini bertujuan ke arah pemodenan dan perindustrian boleh didapati melalui pameran yang diadakan di HPPNK.

“Golongan muda yang berminat menceburi bidang ini juga boleh menjadikan HPPNK sebagai satu platform bertukar pendapat, mendapat maklumat terkini berkaitan pelaburan, teknologi baru dan sebagainya untuk pendedahan kepada peluang perniagaan,” katanya.

Terdapat pelbagai aktiviti dan acara menarik yang diatur sepanjang berlangsungnya HPPNK kali ini. Antaranya ialah penyampaian Anugerah HPPNK 2015 iaitu pengiktirafan kepada pencapaian terbaik peladang, penternak dan nelayan dalam menghasilkan produk dan inovasi pertanian yang telah membantu menjamin sekuriti makanan negara.

HPPNK pada kali ini akan mempertandingkan 13 kategori anugerah dan satu anugerah khas yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa majlis perasmian.

Selain itu, sebanyak 18 kertas kerja akan dibentangkan oleh penceramah tempatan sepanjang HPPNK 2015 berlangsung. Skop seminar merangkumi beberapa segmen yang meliputi peluang meningkatkan eksport pertanian dan makanan, kejayaan usahawan pertanian dan makanan serta peluang perniagaan pertanian dan makanan domestik.

Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan 2015 akan diadakan sebelum HPPNK dengan dihadiri seramai 600 peserta yang terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan, pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pihak swasta yang terbabit secara langsung dalam sektor pertanian.

Tidak ketinggalan, pelbagai pameran, promosi jualan hasil pertanian, ternakan, pertunjukan, pertandingan, persembahan dan sebagainya juga diadakan.

Ahmad Shabery berkata, semua pihak diharapkan memberi kerjasama kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak bagi menjayakan HPPNK 2015 kali ini.

“Semoga HPPNK 2015 menjadi satu titik tolak kepada pembangunan sektor pertanian di negara ini dan seterusnya mampu bersaing di peringkat antarabangsa atau bertaraf global.

“Saya juga berharap agar pameran pada kali ini dimanfaatkan oleh usahawan, pemain industri dan juga pengunjung dalam mewujudkan jaringan perniagaan dengan pelbagai pihak.

“Justeru, saya menjemput semua rakyat Sarawak khususnya dan di seluruh Malaysia amnya supaya datang beramai-ramai bagi menyaksikan pameran dan pelbagai lagi persembahan yang telah diatur sempena HPPNK 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:58 AM