GOLONGAN peladang, penternak dan nelayan adalah komuniti yang sepatutnya dibela kerana mereka adalah rakyat Malaysia Madani yang berkorban dan berjuang demi memastikan kestabilan negara dalam erti kata ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan bernutrisi.
GOLONGAN peladang, penternak dan nelayan adalah komuniti yang sepatutnya dibela kerana mereka adalah rakyat Malaysia Madani yang berkorban dan berjuang demi memastikan kestabilan negara dalam erti kata ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan bernutrisi.

Keberkesanan dasar serta program Kerajaan Persekutuan membangunkan infrastruktur fizikal serta sosioekonomi rakyat Malaysia memberi kesan yang positif kepada pertumbuhan populasi negara yang dijangkakan mengalami pertambahan 33.4 juta orang pada tahun ini.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 31 Julai 2023, jangkaan jumlah populasi penduduk negara itu adalah pertambahan pada kadar 2.1 peratus berbanding 32.7 juta orang pada tahun 2022.

Malah, secara relatifnya populasi penduduk negara dijangka akan terus mengalami pertambahan pada kadar sebanyak 0.2 peratus setahun.

Secara umumnya, pertambahan populasi penduduk seringkali diihat berkait rapat dengan permintaan bekalan makanan.

Pendek kata, semakin ramai penduduk, maka semakin tinggilah permintaan makanan dalam sesebuah negara.

Jangkaan ini bagaimanapun sentiasa menjadi perhatian utama dalam 'radar' Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui agensinya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Hari ini, perhatian berkenaan berjaya diterjemahkan serta disemarakkan lagi di bawah kerangka dasar dan kepimpinan Malaysia Madani.

Usaha murni ini dapat diteliti melalui peranan aktif oleh LPP yang terus menerus mencari alternatif bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan mencukupi dalam negara sekaligus menangani cabaran masa depan, mengangkat martabat serta memperkasakan peranan golongan peladang, penternak dan nelayan dalam sektor agromakanan negara.

Strategi menghadapi cabaran keterjaminan makanan

   

Kesungguhan LPP dalam menangani cabaran keterjaminan makanan serta memperkasakan peladang, penternak dan nelayan tempatan dijelaskan Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim yang menyifatkan golongan itu berperanan besar kepada kestabilan negara.

"Sesungguhnya golongan peladang, penternak dan nelayan adalah komuniti yang sepatutnya dibela kerana mereka adalah rakyat Malaysia Madani yang berkorban dan berjuang demi memastikan kestabilan negara dalam erti kata ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan bernutrisi.

"Golongan ini adalah wira tidak didendang dan harapan negara dalam 'Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan'," katanya.

Tambah Azulita, kerajaan persekutuan khususnya LPP menggaris serta melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya melaksanakan reformasi permodenan sektor pertanian berkonsep pintar sebagai game changer di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memfokuskan pendekatan berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seterusnya memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.

Inisiatif itu katanya ditambah lagi dengan peningkatan pembiayaan awam dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain pembangunan inovasi pertanian dengan penyertaan proaktif institusi pengajian awam dan sektor swasta.

Malah, reformasi sektor pertanian dan agromakanan negara ini turut mengambil kira kesan perubahan iklim global serta gangguan dalam rantaian bekalan makanan global kesan daripada perang Ukraine-Russia.

Usaha ini bagi memastikan sektor agromakanan serta golongan peladang, penternak dan nelayan tempatan terus kekal relevan serta berdaya saing selain mengurangkan penggantungan negara terhadap import bahan makanan.

Komitmen kerajaan Persekutuan ini turut diperkukuhkan dengan penyediaan peruntukan besar RM5.39 bilion bagi tahun 2023 berbanding RM4.81 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertambahan peruntukan pada kadar 12.06 peratus ini adalah untuk memastikan kerangka pelaksanaan DAN 2.0 dan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dapat dicapai sepenuhnya merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan.

Reformasi permodenan sektor pertanian dan agromakanan turut membabitkan penggalakan penyertaan lebih ramai golongan belia sebagai agenda utama KPKM selain mengadaptasi teknologi moden, inovasi serta R&D sektor pertanian.

Pembabitan golongan belia ini satu perkara kritikal bagi memastikan kelestarian sektor pertanian dan makanan negara sekaligus menangani pergantungan tenaga kerja asing selain isu ageing farmers.

"Sektor agromakanan menyediakan peluang serta prospek perniagaan luas bagi golongan belia. Dengan lebih ramai penglibatan golongan belia, membantu meningkatkan keterjaminan makanan serta menstabilkan harga bekalan yang boleh dimanfaatkan kepada seluruh rakyat," kata Azulita.

Bagi menangani cabaran kos sara-hidup khususnya bahan asas makanan yang semakin meningkat, Lembaga Pertubuhan Peladang melalui kesemua Pertubuhan Peladang dibawahnya melaksanakan program bagi memendekkan rangkaian pasaran pukal dan runcit dari ladang kepada pengguna.

Ini termasuk mewujudkan 'Peladang Outlet', 'Pasar Peladang' Jualan Agro-Madani dan lain-lain pendekatan rangkaian pasaran yang telah diwujudkan diseluruh negara secara harian, mingguan atau bulanan.

   

Pemerkasaan Peladang, Penternak dan Nelayan

   

Cabaran keterjaminan makanan turut diperkukuhkan dengan pelaksanaan 10 Teras Strategi dalam Pelan Korporat Ke-7 (2021-2025) yang digariskan oleh LPP yang menyaksikan golongan peladang, penternak dan nelayan berjaya diperkasakan dari segi rantaian pengeluaran, bekalan dan pemasaran.

Teras strategi LPP ini bakal membabitkan pembukaan 50 Peladang Outlet (PO) selain penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai (cashless) secara meluas menerusi sistem jualan secara dalam talian (online) yang mampu meningkatkan pendapatan peladang, penternak dan nelayan.

Selain itu, peladang, penternak dan nelayan juga bersama-sama institusi Pertubuhan Peladang (PP) secara aktif menerapkan aspek digitaliasi seperti Internet of Things (IoT) dalam projek pertanian dan agromakanan selari dengan IR4.0.

Secara keseluruhan, usaha kerajaan Persekutuan di bawah kerangka dasar kepimpinan Malaysia Madani memberi perhatian khusus kepada pengukuhan serta pemerkasaan peladang, penternak dan nelayan.

LPP yang genap 50 tahun usia penubuhannya jelas berjaya sebagai peneraju unggul 295 institusi Pertubuhan Peladang dengan keahlian berjumlah 965,195 orang di seluruh negara meletakkan pergerakan PP institusi yang kukuh dalam memberi manfaat kepada golongan masyarakat peladang

Justeru, Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan Ke-48 kali ini kesinambungan manifestasi penghargaan ke atas jasa serta peranan besar golongan peladang, penternak dan nelayan dalam membentuk hala tuju negara sejak era Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memulakan sambutan ini pada tahun 1975.

Ibarat tunjang, golongan peladang, penternak dan nelayan akan terus kekal sebagai elemen terpenting kepada rakyat serta negara dan mampu menghadapi cabaran dan perubahan masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 5:53 PM