Oleh Mohd Firdaus Hashim

Shah Alam: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melaungkan ketegasan tidak akan mencampuri atau cuba mempengaruhi keputusan ditentukan Pesuruhjaya Sukan susulan insiden kekecohan penyokong di Stadium Shah Alam tempoh hari.

Sebaliknya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Zaiton Othman bagi menentukan apa jua hukuman yang harus dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, hanya Pesuruhjaya Sukan mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan berhubung surat tunjuk sebab yang sudah diserahkan FAM kelmarin.

“Mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997, apa saja surat tunjuk sebab mesti dijawab terus kepada Pesuruhjaya Sukan.

“Apabila Pesuruhjaya Sukan membuat pertimbangan dan keputusan, barulah persatuan sukan boleh merayu kepada menteri,” katanya ketika ditemui pada ‘Festival Score FitMob’ di Kolej Universiti KDU, di Glenmarie, di sini semalam.

FAM berada dalam keadaan tersepit selepas gagal memastikan isu keselamatan berada di tahap terbaik ketika aksi Malaysia bertemu Arab Saudi pada kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Bagaimanapun menurut Khairy, FAM boleh mengemukakan rayuan kepadanya andai tidak berpuas hati dengan hukuman awal yang akan diputuskan Pesuruhjaya Sukan selepas ini.

“Saya sebagai badan rayuan tidak boleh terbabit dalam membuat keputusan pertama kerana bagaimana mereka mahu membuat rayuan, jika saya sendiri sudah terbabit dalam menentukan bentuk hukuman,” katanya.

Menerusi laporan semalam, Zaiton mengesahkan pihaknya sudah menerima surat tunjuk sebab daripada FAM kelmarin dan membayangkan sebarang keputusan akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, beliau memerlukan sedikit masa bagi meneliti setiap butiran laporan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai bentuk hukuman selain turut mengambil kira tindakan yang akan dikenakan FIFA terhadap FAM.

Sekiranya jelas FAM didapati bersalah, kemungkinan besar badan bola sepak tanah air itu akan digantung sekali gus dihalang daripada terbabit dengan sebarang aktiviti sukan itu sehingga masalah berkenaan diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:58 AM