GARY (kanan) tidak dibenar menjalani latihan bersama Johor DT.
GARY (kanan) tidak dibenar menjalani latihan bersama Johor DT.
TENGKU Abdullah (tengah)  memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain menandatangani dua kontrak serentak.
TENGKU Abdullah (tengah) memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain menandatangani dua kontrak serentak.
ZAITON kini bertugas di Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
ZAITON kini bertugas di Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Tumpuan minggu ini terarah kepada sejarah baru sukan negara selepas Datuk Zaiton Othman dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan wanita pertama negara.

Beliau akan memulakan tugasan pada 1 Februari, menganggap tugasan itu sebagai satu cabaran besar buat dirinya.

Pelantikan bekas atlet heptatlon negara itu diumum Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Khamis lalu.

Zaiton sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), mengambil alih tugas Ahmad Shapawi Ismail selepas beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN pada 19 Disember lalu.

Ahmad Shapawi pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan selama setahun setengah antara Jun 2013 hingga Disember 2014, kini menyandang jawatan Ketua Pengarah MSN menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong yang kini memikul tugas Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017 menyaksikan Malaysia bertindak selaku tuan rumah.

Zaiton, 55, dari Kepala Batas, Pulau Pinang adalah pelari pecut 400m serta pemegang rekod heptatlon kebangsaan diciptanya pada Sukan SEA Manila 1981.

Beliau menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan 1982 serta memenangi tiga pingat emas dan mencipta rekod terbaik Asia dalam acara lari berganti-ganti 4x400m.

LIGA M

Sorotan minggu ini turut membawa berita pemain tengah negara, Gary Steven Robbat akur terhadap hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkannya berlatih bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sepanjang penggantungan selama tiga bulan.

Gary juga dijangka mengemukakan rayuan selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan serta Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Isu bekas pemain Harimau Muda A terbabit masih belum selesai meskipun Jawatankuasa Status FAM sudah menjatuhkan hukuman penggantungan tiga bulan daripada terbabit sebarang aktiviti bola sepak serta denda RM50,000.

Pada masa sama, Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain menandatangani dua kontrak dalam satu masa dan berdepan hukuman lebih keras termasuk berdepan penggantungan selama semusim.

OLAHRAGA

Selain itu isu penggunaan nama larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) yang akan berlangsung pada Mei turut membawa campur tangan Khairy Jamaluddin.

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Danyal Balagopal Abdullah memenuhi permintaan Khairy menerangkan lebih lanjut kontroversi penggunaan nama MIM serta persengketaan membabitkan MOM serta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Isu terbabit nampaknya masih belum ada jalan penyelesaian biarpun MOM sudah memberikan penjelasan dan menunggu menteri mengemukakan cadangan menyelesaikan masalah penganjuran larian itu.

Laporan Khamis lalu memaparkan Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’afar meyatakan rasa terkejut dan kecewanya dengan tindakan Danyal yang membuat keputusan mengekalkan semula nama MIM biarpun Khairy menasihatkan badan induk itu mengekalkan keputusan menukar nama larian berkenaan.

BASIKAL

Prestasi ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley turut menjadi perhatian.

Ini berikutan beberapa ahli majlis Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mendakwa beliau gagal menghasilkan pelumba basikal trek masa depan sebaliknya masih terus bergantung kepada Azizulhasni Awang dan Josiah Ng membawa cabaran kompetitif peringkat antarabangsa.

Menurut laporan, ahli majlis membangkitkan isu terbabit berikutan prestasi jurulatih Australia itu dianggap masih berada di takuk lama sejak beberapa tahun lalu.

Malah, mereka turut mencadangkan agar diwujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Beasley.

Tidak ketinggalan adalah harapan juara bertahan, Datuk Nicol David meraih gelaran sulung tahun ini selaku juara bertahan Kejohanan Juara-Juara JP Morgan tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain England, Alison Waters pada suku akhir kejohanan berlangsung di Manhattan, New York.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 7:30 AM