Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bukan kuasa dan hak Pesuruhjaya Sukan.

Itulah jawapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar, kiri) mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sebelum ini Tengku Abdullah menegaskan tidak wajar badan induk itu saja dipersalahkan berhubung insiden kekecohan ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam minggu lalu.

Semalam Khairy berkata Pesuruhjaya Sukan tidak mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap polis dan pihak stadium sebaliknya terhad kepada persatuan sukan saja.

“Pihak polis dan stadium boleh dipersalahkan juga tapi Pesuruhjaya Sukan hanya boleh mengambil tindakan terhadap persatuan sukan (FAM),” katanya.

Jelasnya, sama seperti FAM, apabila di peringkat Liga Malaysia dan terdapat gangguan dalam perlawanan badan induk itu tidak boleh mendenda atau menggantung polis

“Begitu juga Pesuruhjaya Sukan yang tidak boleh menggantung polis. Kita boleh minta polis untuk tingkatkan lagi kawalan.

“Bagaimanapun, tanggungjawab penyelarasan itu adalah pada persatuan sukan iaitu FAM,” kata Khairy.

Tengku Abdullah sebelum ini menegaskan FAM tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya berhubung insiden kekecohan itu kerana insiden itu juga berpunca daripada masalah keselamatan dan samseng bola sepak.

FAM diberi tempoh 14 hari bermula 9 September lalu untuk membalas surat tunjuk sebab dikemukakan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman susulan kekecohan dalam perlawanan kelayakan yang dihentikan pada minit ke-88 akibat kekecohan dicetuskan penonton.

“Setakat hari ini (semalam) Pesuruhjaya Sukan belum maklumkan apa-apa kepada saya (sama ada FAM sudah balas surat tunjuk sebab),” kata Khairy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:27 AM