Zainal  mengendalikan latihan pemain Pahang bagi menghadapi saingan Piala Malaysia menentang PDRM
Zainal mengendalikan latihan pemain Pahang bagi menghadapi saingan Piala Malaysia menentang PDRM

Kuala Lumpur: “Belajar undang-undang dulu,” Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan kenyataan Zainal Abidin Hassan.

Hari ini di Kuantan, Zainal yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia berkata, Jika Khairy benar-benar mempunyai kuasa dan punya tujuan yang baik untuk bola sepak, gantunglah FAM dalam masa seminggu ini.

Zainal juga mahu melihat apa yang mampu dibuat oleh Khairy jika menggantung FAM dan apa rancangan dan tindakan beliau selepas itu untuk membangunkan arena bola sepak negara.

Menurut Khairy, jika hendak menggantung FAM perlu mengikut undang-undang.

“Kalau nak gantung pun kena ikut undang-undang. Surat tunjuk sebab, jawab 14 hari, ikut prosedur dan lain-lain,” katanya menerusi Twitternya malam tadi.

Media semalam melaporkan, FAM akan berdepan hukuman berat termasuk penggantungan atau pembatalan pendaftaran jika gagal mengemukakan jawapan munasabah kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) berhubung insiden memalukan di Stadium Shah Alam ketika saingan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, Selasa lalu.

Khairy dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman menghantar surat tunjuk sebab berhubung isu keselamatan dan kekecohan yang berlaku kepada FAM kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 11:42 PM