PERSEMBAHAN hebat untuk peminat.
PERSEMBAHAN hebat untuk peminat.
PENONTON turut mengibarkan Jalur Gemilang.
PENONTON turut mengibarkan Jalur Gemilang.
AKIM bergambar dengan peminat cilik.
AKIM bergambar dengan peminat cilik.
Oleh Norul Awatif Romli


Selepas menggegarkan lima negeri, Konsert Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia akhirnya melabuhkan tirai Sabtu lalu dengan konsert terakhir di pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Kehadiran band popular itu menarik perhatian hampir 4,000 penonton dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Ramai peminat khususnya wanita tidak putus-putus mahu bergambar dengan Akim dan membeli album Patriot dengan harga promosi RM21.

Meskipun cuaca mendung, peminat berpusu-pusu memenuhi pekarangan stadium seawal jam 6 petang dan keresahan mereka berakhir apabila Akim & The Majistret muncul di atas pentas jam 8.45 malam.

Konsert dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret bersama barisan penyanyi jemputan lain.

Alinda Alphonse mula mengambil tempat di pentas dengan menyanyikan lagu Tamil berjudul Soi Soi dan lagu medley Kungguma, Machan Meesae, Aedho Mayakam serta Konjum Nilavu.

Alinda menutup persembahannya dengan lagu Aaja Nachle yang dipetik daripada filem Bollywood Aaja Nachle lakonan Madhuri Dixit.

Persembahan diteruskan oleh Kumpulan Precious yang menyampaikan lagu I Got A Boy dan Uptown Funk secara medley diikuti Setia dan Just Ask Me.

Pentas semakin hangat apabila Aqim & The Majistret menghiburkan penonton dengan tujuh lagu daripada album sulung mereka termasuklah patriot, Terlalu Mudah, Sisaku, Quicksand, Obses dan Mewangi.

Aksi bertenaga dan ‘sporting’ tujuh anak muda itu bukan sahaja memikat hati penonton, malah kru serta penganjur konsert apabila turut sama menyanyi beramai-ramai di belakang pentas.

Persembahan malam itu diakhiri nyanyian Tanggal 31 sebelum Akim & The Majistret membuat cabutan bertuah yang melayakkan penonton bernasib baik membawa pulang hadiah utama iaitu televisyen 50 inci, telefon pintar dan tablet.

Ahli band itu turut meluangkan masa lebih 30 minit untuk sesi bertemu dan bergambar bersama peminat yang membeli album mereka.

Menurut Akim, sambutan peminat di Alor Setar amat luas biasa menjadikan konsert itu paling meriah berbanding lima lokasi sebelum ini.

“Terima kasih kepada peminat di utara tanah air kerana bersemangat menyambut kehadiran kami.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua kru dan kakitangan Harian Metro yang hadir di setiap lokasi.

“Saya bersyukur kerana kerja keras kami sepanjang enam siri konsert jelajah ini membuahkan hasil. Sangat puas hati apabila konsert kami di Alor Setar dihadiri hampir 4,000 penonton,” katanya.

Sambungnya lagi, Akim & The Majistret menjayakan persembahan Anugerah Planet Muzik (APM) selain bertemu peminat di Pulau Pinang pada 17 Oktober ini dan diikuti konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 31 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 9:25 AM