AKIM bersama rakan artis turut bergambar kenangan bersama penonton.
AKIM bersama rakan artis turut bergambar kenangan bersama penonton.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Kehadiran lebih 3,000 peminat yang membanjiri Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu sempena Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia, malam kelmarin nyata memberi semangat luar biasa buat Akim & The Majistret untuk menghiburkan penonton yang hadir.

Ia termasuklah apabila mereka turut menyanyikan rangkaian lagu daripada beberapa artis lain seperti I Not For Sale (Stacy) dan Hanya Aku (Hyper Act).

Konsert berlangsung di pekarangan Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu itu adalah lokasi keempat sempena siri jelajah Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia dengan kerjasama Harian Metro serta Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s) sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-58.

Konsert dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Sehati Sejiwa secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret bersama Alinda Alphonse, Precious dan artis tempatan Sabah, Janrywine J Lusin.

Alinda mula mengambil tempat di pentas dengan menyanyikan tiga lagu Tamil Soi Soi, lagu medley Tamil dan Aaja Nacle yang nyata mula menghangatkan suasana pada malam itu.

Kehangatan konsert diteruskan dengan persembahan Janrywine yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu ciptaannya seperti Kalau Saya Ada Magik, Dalam Ingatan dan Macam di KK.

Sejurus selepas itu, penyanyi jemputan Precious mengakhiri slot artis jemputan yang turut menyanyikan dua lagu secara medley iaitu I Got A Boy, Uptown Funk, lagu Mandarin digabungkan bersama lagu Setia serta lagu Inggeris, Just Ask Me.

Cuaca yang baik juga memberi peluang kepada penonton untuk membanjiri kawasan pekarangan konsert dan terus setia menanti kehadiran Akim & The Majistret seawal jam 6 petang meskipun konsert hanya dimulakan pada jam 7.45 malam.

Selepas menunggu hampir sejam, band itu mengakui terharu dengan sokongan diberikan peminat Sabah khususnya di Kota Kinabalu yang tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Pada konsert yang cukup bermakna itu, Akim & The Majistret menyampaikan lebih lapan lagu popularnya termasuk lagu sulung berjudul Patriot sebagai ‘hadiah’ sekali gus menghargai sokongan diberikan.

Ternyata, telatah band yang dianggotai tujuh jejaka iaitu Akim, Zimi dan Fairuz (Sofazr), Wan dan Gjie (Sixth Sense), Afiez (Kristal dan New Boyz) dan Beby yang ‘sporting’ dan bersahaja melayan peminat apabila menyanyikan lagu yang diminta sekali gus merancakkan lagi konsert berkenaan.

Band itu memulakan persembahan dengan lagu yang diminta penonton apabila menyampaikan lagu I Not For Sale yang dipopularkan kekasihnya, Stacy yang nyata mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

Sejurus selepas itu, mereka menghiburkan peminat dengan lagu Patriot dan lagu medley terkenal daripada Hyper Act, Sofaz, Sixth Sense dan New Boyz.

Antara lagu disampaikan Akim adalah seperti Obses dan Terlalu Mudah. Selain itu, mereka turut menyanyikan lagu tema kempen Yeo’s Jinggle Song sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Potret dan Mewangi.

Sementara itu, menurut Akim, dalam tiga konsert sebelum ini, sambutan diberikan peminat di Sabah nyata luar biasa apabila sanggup menunggu di perkarangan tapak konsert seawal jam 6 petang.

Katanya, keadaan cuaca yang baik sepanjang konsert berlangsung turut memberi semangat buat mereka untuk menghiburkan penonton yang hadir dengan menyanyikan lebih lapan lagu untuk menghargai sokongan diberikan.

“Syukur pada kali ini, cuaca baik dan bukan musim hujan seperti yang berlaku di Shah Alam dan Terengganu sebelum ini. Ia juga membuatkan kami lebih bersemangat untuk memberi persembahan terbaik buat peminat,” katanya.

Sebelum mengakhiri konsert itu, band popular berkenaan turut meluangkan masa hampir 20 minit untuk sesi beramah mesra dengan peminat sambil mempromosikan album mereka.

Dalam perkembangan lain, Akim berkata, dia bersama bandnya kini masih dalam rangka jelajah Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia. Mereka juga akan berada di Kuching untuk lokasi kelima sebelum berakhir di Alor Setar, Kedah.

Katanya, siri jelajah konsert itu juga sempena pelancaran album pertama kumpulan itu berjudul Patriot.

“Bingkisan pertama kami berjudul Patriot dan secara kebetulan ia berlangsung pada bulan kebangsaan. Ia juga bertepatan sekali dengan konsert yang diadakan. Kami juga berharap dapat membuat rang­ka konsert untuk jelajah di beberapa daerah di Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:01 AM